Pengelola liga bola sepak Malaysia, Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk menyalurkan sebahagian amaun daripada hak penyiaran bagi membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan pasukan Sarawak United dan Melaka United.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan jumlah tersebut akan disalurkan terus kepada pemain bukan pasukan.

“Ahli Lembaga Pengarah meluluskan keputusan ini pada penghujung Jun lalu dan ia akan disalurkan secara terus kepada pemain dan bukannya kepada pasukan.

“Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sudah memberikan senarai nama pemain dan kita juga akan ada senarai jurulatih pada minggu ini.

“Kami akan mengagihkan dana itu sewajarnya kepada mereka dan ini adalah wang yang ditahan oleh MFL. Namun kita hanya dapat lakukan apa yang mampu kita lakukan.

“Sudah tentu ia tidak dapat menyelesaikan masalah ini tetapi ia memberikan sedikit kelegaan kepada pemain. Isu ini tidak membabitkan MFL tetapi majikan mereka dan kita harap dapat diselesaikan pada minggu ini,” kata Stuart dipetik dalam Berita Harian.

Sarawak United
Skuad Sarawak United beraksi dalam Liga Super musim lepas

Sebelum ini, dua bekas pemain Sarawak United iaitu Taylor Regan dan Stuart Wark meminta agar pasukan itu segera melunaskan tunggakan gaji yang masih belum selesai sehingga kini.

Regan berkata Sarawak masih berhutang gaji 10 bulan kepadanya manakala Wark masih belum menerima tunggakan tiga bulan gaji ketika beraksi bersama kelab tersebut.

Selain isu tunggakan gaji bekas pemain Sarawak, bekas pemain Melaka United juga menerima nasib yang sama apabila sehingga saat ini rata-rata dari mereka masih belum menerima tunggakan gaji.

Seorang individu yang bernama Husni memberitahu kepada Vocket FC beliau merupakan ahli fisioterapi bagi skuad Piala Presiden Melaka musim lepas dan belum menerima tunggakan gaji sebanyak tiga bulan.