Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam telah mengumumkan senarai 4 negara yang menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.
Bidaan menganjurkan Piala Asia 2023 telah dibuka kepada semua anggota persatuan sejak 31 Mei lalu bagi menggantikan tempat China yang menarik diri susulan peningkatan kes COVID-19.
Empat Anggota Persatuan (MA) yang telah mengesahkan permohonan tersebut ialah Federasi Bola Sepak Australia (FFA), Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).
Bagaimanapun, dalam satu portal berita dari Korea Selatan iaitu Joong Ang Daily, mereka menyifatkan Indonesia tidak layak menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 kerana perlu memberi tumpuan kepada penganjuran Piala Dunia B-20 2023.
“Indonesia pernah jadi tuan rumah Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tahun 2018 dan juga memiliki infrastruktur sukan yang baik.
“Tetapi mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 2023 bermula 20 Mei hingga 11 Jun tahun depan, dan bakal menghadapi masalah seperti Australia (tuan rumah Piala Dunia Wanita 2023),” tulis Joong Ang Daily.
Hanya 4 Negara Hantar Permohonan Rasmi Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023https://t.co/DP6sdti1ui
— VOCKET FC (@vocketfc) July 18, 2022
Berdasarkan jadual, Piala Asia 2023 akan bermula 5 hari selepas tamat Piala Dunia B-20 2023 pada 11 Jun 2023. Piala Dunia Wanita di Australia pula akan berlangsung selepas 4 hari Piala Asia 2023 tamat.
Situasi seperti ini tidak begitu ideal dan kemungkinan Indonesia serta Australia tidak berada dalam pertimbangan AFC untuk dipilih sebagai tuan rumah.
Korea Selatan dan Qatar dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk dipilih sebagai tuan rumah kerana mempunyai stadium berkelas dunia serta kemudahan padang bola sepak yang lebih baik.
Namun begitu, Qatar lebih bersedia dari segi logistik kerana bakal menganjurkan Piala Dunia 2022 pada bulan November tahun ini.
Menurut kenyataan rasmi AFC, negara yang dipilih sebagai tuan rumah kejohanan yang melibatkan 24 pasukan itu akan diumumkan secara rasmi pada 17 Oktober 2022 oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC.
Bagi acara undian pula, belum ada tarikh yang ditetapkan tetapi kebiasaannya akan dilakukan lima atau enam bulan sebelum pertandingan berlangsung.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Asia 2023 melalui pautan dibawah.
Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024
Korea Selatan Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2023