Legenda Jerman, Lothar Matthaus memberikan kritikan pedas terhadap aksi yang dipamerkan pemain tengah skuad ‘Die Mannschaft’, Toni Kroos ketika menghadapi Kejuaraan Euro 2020 tempoh hari.
Kroos menjadi sasaran Matthaus selepas Jerman yang dibimbing Joachim Low buat kali terakhir itu tumpas 0-2 di tangan England pada pertembungan peringkat 16 di Stadium Wembley.
Sehubungan dengan itu, Matthaus beranggapan bahawa Kroos kini dilihat tidak mampu menjelmakan aksi maksimum dan beliau juga sudah tidak lagi bergelar pemain berkelas dunia.
Hakikat itu mungkin ada kebenarannya apabila pemain berusia 31 tahun itu tidak mampu untuk mencipta sebarang bantuan jaringan serta menjaringkan gol dalam empat perlawanan dihadapi Jerman.
“Kroos bukan lagi pemain berkelas dunia. Secara peribadi, saya tidak ada sebarang masalah dengan Toni Kroos tetapi saya jelas tidak bersetuju dengan cara dia bermain.”
“Ketika saingan Euro, anda melihat ia bukan sahaja mengenai kepantasan pemain itu tetapi juga ketika situasi tanpa bola,” ujar Matthaus menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Daa sebenarnya melakukannya cukup baik dengan satu atau dua sentuhan, tetapi ketika dia menghantar bola, dia kehilangan kepantasan sekali lagi kerana dia tidak memiliki ruang dan kecepatan permainannya menurun.”
Namun, Matthaus tidak perlu lagi untuk memikirkan soal Kroos kerana pemain tersebut sudah pun mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa sebaik sahaja tamat kempen Euro tempoh hari.
Membantu Jerman menjulang trofi Piala Dunia 2014 di Brazil selepas berjaya menundukkan Argentina 1-0 pada perlawanan akhir akan kekal menjadi antara detik bermakna buat Kroos sepanjang kariernya ketika menyarung jersi negara tersebut.
Baca artikel lain mengenai Toni Kroos dan skuad kebangsaan Jerman:
Mason Mount Sindir Kroos Selepas Komen Pemain Itu Tentang Chelsea