Pemain yang terpalit dengan kontroversi, Mason Greenwood sekali lagi mencuri tumpuan apabila beliau dikatakan telah melanggar peraturan ditetapkan oleh kelab baharunya, Getafe.
Baca Juga:
- AS Roma Berminat Dapatkan Mason Greenwood
- Manchester United Singkirkan Mason Greenwood
- Kantoi Bawa ‘Awek’ Ke Hotel, Phil Foden Dan Mason Greenwood Disingkirkan Daripada Skuad England
Menyertai kelab La Liga itu sebagai pemain pinjaman, Greenwood dikatakan telah ‘ditangkap’ sedang menikmati makanan cepat saji (fast food) di Madrid.
Tindakan tersebut jelas boleh mengundang kemarahan pengurus pasukan, Jose ‘Pepe’ Bordalas Jimenez kerana beliau amat teliti dalam aspek pengambilan makanan oleh anak-anak buahnya.
Tambahan pula, pengendali berusia 59 tahun itu sememangnya melarang para pemain Getafe daripada memakan makanan ringan kerana terdapat pemantauan berat badan pada setiap hari.
Difahamkan denda akan dikeluarkan kepada mana-mana pemain yang tidak menepati kriteria serta mengalami berat badan berlebihan.
Menurut sumber Goal, Greenwood sempat singgah di salah sebuah restoran makanan cepat saji bersama bapanya, Andrew sebaik sahaja selesai sesi latihan pasukan.
Meskipun dilihat tindakannya telah melanggar peraturan ditetapkan Bordalas, Greenwood masih diberikan peluang beraksi selama 78 minit ketika aksi liga bertemu Real Betis pada Sabtu lalu.
Perlawanan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan Getafe kini berada ditangga ke-11 hasil dua kemenangan, lima keputusan seri dan tiga kekalahan dicatatkan.
Mason Greenwood sebelum ini menggemparkan dunia bola sepak selepas pemain tersebut ditahan atas kesalahan keganasan domestik dan merogol.
Greenwood kemudian dibebaskan oleh pihak polis selepas pertuduhan itu digugurkan atas persetujuan bersama dengan mangsa yang kini masih menjadi pasangan hidupnya.