Skuad futsal Indonesia tidak menunggu lama untuk mendapatkan pengendali baharu apabila mengumumkan kehadiran Marcos Aurelio Sorato Zapelini dari Brazil.
Baca Juga:
- Futsal Indonesia Dapat Sentuhan Iran, Lantik Mohammad Hashemzadeh Sebagai Ketua Jurulatih
- Kenali Zuhairi Sholahuddin, Pemain Import Pertama Beraksi Di Liga Futsal Indonesia
- Hashemzadeh: Futsal Indonesia Bakal Saksikan Perubahan Lebih Jelas
Marcos Sorato dipilih oleh Federasi Futsal Indonesia (FFI) bagi menggantikan ketua jurulatih sebelum ini, Muhammad Hashemzadeh yang mengundurkan diri daripada tugasannya selepas cemerlang membimbing pasukan sejak Mac 2022.
Hashemzadeh telah mengubah corak permainan skuad futsal Indonesia sehingga berjaya muncul naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2022, pingat perak Sukan SEA 2023 dan layak ke suku akhir Piala Futsal AFC 2023.
Perkembangan terkini mengenai kehadiran Sorato itu disahkan oleh FFI menerusi pengumuman rasmi di laman sosial badan induk futsal Indonesia tersebut, semalam.
Marcos Sorato hadir ke Jakarta dengan reputasi hebat apabila beliau telah membimbing skuad futsal Brazil dalam menjulang Piala Dunia bagi dua edisi berturut-turut (2008 dan 2012).
Jurulatih berusia 53 tahun itu juga turut berpengalaman dalam membimbing kelab Rusia iaitu MFK Tyumen, Al Ahli dan Al Wahda. Malah, beliau juga memiliki rekod cemerlang ketika bergelar pemain.
“Saya bangga terpilih menjadi ketua jurulatih futsal Indonesia yang baharu. Kualiti pemain dan posisi kuat Indonesia meyakinkan saya untuk menerima projek yang menarik ini.’’
“Saya akan bekerja keras dan meraih sasaran yang dicanangkan oleh persatuan [federasi],’’ ujar Sorato menurut kenyataannya di CNN Indonesia.
Difahamkan, layak ke saingan Piala Dunia 2024 di Uzbekistan menjadi antara sasaran Sorato sebaik sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih Indonesia.