Lee Zii Jia melangkah ke pusingan 16 Kejohanan Malaysia Masters 2023 selepas berjaya menundukkan Lu Guang Zu pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Baca Juga:

Mendapat sokongan padu penyokong yang hadir, Zii Jia mempamerkan corak permainan bertenaga terutamanya pada set pertama untuk mencatatkan kemenangan mudah 21-12.

Set kedua lebih sukar buat pemain perseorangan utama negara itu apabila Guang Zu tampil lebih baik untuk meninggalkan jauh Zii Jia pada satu ketika.

Namun, semangat juang tinggi dipamerkan oleh Zii Jia untuk kembali bangkit mengejar mata dan kemudiannya mengesahkan kemenangan 21-19.

Ia merupakan kemenangan ketiga buat anak kelahiran Alor Setar itu dalam empat pertemuan menentang wakil dari China tersebut.

Menanti Lee Zii Jia di pusingan seterusnya ialah Lin Chun-Yi yang menumpaskan juara bertahan, Chico Dwi Wardoyo pada aksi yang berlanjutan hingga ke rubber set.

Sementara itu, tujuh lagi wakil negara yang beraksi pada hari ini terpaksa menelan kepahitan tewas kepada lawan masing-masing.

Ng Tze Yong tunduk kepada Kenta Nishinoto 21-17, 16-21, 13-21 manakala Gon Jin Wei pula tewas ketika bertemu Yvonne Li dari Jerman 17-21, 21-17, 15-21.

Pemain lain yang tersingkir pada hari ini ialah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan beregu lelaki, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong.

Semalam, terdapat empat wakil negara mengesahkan tempat ke pusingan 16 Malaysia Masters selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan Pearly Tan-M. Thinaah menewaskan lawan masing-masing.