Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui beraksi dalam temasya Sukan SEA 2019 merupakan salah satu daripada impiannya sejak dahulu dan beliau mahu memastikan salah satu posisi dalam skuad akhir 20 pemain menjadi miliknya.

Bagaimanapun, impiannya untuk berganding bersama penyerang terbaik skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak menjadi kenyataan apabila pengendali pasukan itu, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu.

“Bermain untuk pasukan negara di Sukan SEA adalah apa yang saya impikan selama ini. Edisi 2017 di Kuala Lumpur, saya hanya menyaksikan sebagai seorang penonton dan sejak itu saya berazam untuk berada di dalam skuad untuk edisi 2019.

“Saya juga selalu impikan untuk beraksi bersama mereka berdua (Muhammad Safawi dan Muhammad Akhyar), jika diberikan peluang oleh jurulatih,” katanya dalam Bernama.

74607602_2514169558679793_661276606823661568_o
FOTO: FAM

Tujuh pemain yang baru selesai tugasan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe turut dipanggil menyertai kem latihan pusat iaitu penjaga gol Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid dan Adam Nor Azlin (kuota lebih umur) dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Danial Amier Norhisham (Felda United), Dominic Tan (Police Tero FC) dan Syahmi Safari (Selangor).

Jika terpilih, Luqman mahu memastikan pingat emas menjadi milik negara dengan menampilkan aksi terbaik di atas padang.

“Ia satu tugas yang berat (jika terpilih) tetapi saya sedia memberikan segalanya jika terpilih. Soal tekanan itu saya tidak mahu terlalu memikirkan, kerana saya hanya mahu berikan yang terbaik di dalam latihan dan perlawanan,” tambah beliau.

Hari ini mereka akan diuji dalam satu perlawanan persahabatan dengan kelab dari Australia sebelum Kim Swee mengumumkan senarai 20 pemain akhir untuk dibawa ke Manila.

Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan A berdepan Myanmar pada Isnin, 25 November 2019 diikuti perlawanan menentang tuan rumah, Filipina pada Jumaat, 29 November 2019, sebelum baki dua lagi aksi bertemu Timor-Leste pada Isnin, 2 Disember 2019 dan Kemboja pada Rabu, 4 Disember 2019. Kesemua perlawanan di Stadium Memorial Rizal.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan bola sepak Sukan SEA 2019 melalui pautan dibawah.

Singapura Umum Senarai Akhir 20 Pemain Ke Sukan SEA 2019

Indra Sjafri Yakin Indonesia Raih Pingat Emas Sukan SEA Walaupun Diundi Dalam Kumpulan ‘Neraka’

Akira Nishino: Thailand Tidak Akan Daftarkan Pemain Senior Dalam Skuad Sukan SEA 2019

Sumber