Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Singapura, Fandi Ahmad telah memuktamadkan senarai akhir 20 pemain yang akan membawa cabaran negara itu bagi menghadapi acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 di Filipina bermula pada 25 November ini.
Lebih menarik, pemain import baharu Terengganu FC, Faris Ramli turut dipilih bersama pemain pertahanan Warriors FC, Tajeli Salamat untuk mengisi kuota pemain senior.
Hal ini kerana format pertandingan membenarkan setiap negara mempunyai dua pemain yang melebihi umur 22 tahun dalam pasukan masing-masing. Bagaimanapun, Fandi Ahmad mengakui sukar untuk menyenaraikan barisan terbaik memandangkan Singapura tidak mempunyai ramai pemain muda yang berbakat.
“Para jurulatih dan saya telah membuat keputusan yang sukar kerana kami hanya mahukan yang terbaik dalam pasukan ini. Sekarang pemain yang terpilih ini perlu mengambil peluang ini untuk membuatkan negara bangga.
“Ianya persiapan yang cukup panjang. Kem latihan, perlawanan persahabatan dan pelbagai kejohanan jemputan telah disertai bagi memastikan pemain cukup bersedia dari segi mental, fizikal dan taktikal sebelum menghadapi sukan SEA,” katanya seperti dipetik dalam laman web rasmi FA Singapore.
Singapura diundi dalam kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan maut dimana ia menempatkan pasukan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, dan Brunei. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang pasukan kuat di peringkat kumpulan tetapi kami yakin dengan kemampuan pemain kami. Kami tahu mereka seorang pejuang. Menang, seri atau kalah mereka tetap lawan. Kami mahu mereka bermain sepenuh hati demi lencana di dada ketika berada diatas padang,” ujar Fandi Ahmad.
Skuad Singapura akan berangkat ke Manila pada hari sabtu ini (23 November) dan dijadualkan menentang Laos dalam perlawanan pertama pada hari selasa depan (29 November 2019).
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan bola sepak Sukan SEA 2019 melalui pautan dibawah.
Indra Sjafri Yakin Indonesia Raih Pingat Emas Sukan SEA Walaupun Diundi Dalam Kumpulan ‘Neraka’
Akira Nishino: Thailand Tidak Akan Daftarkan Pemain Senior Dalam Skuad Sukan SEA 2019
Sukan SEA 2019: Wan Kuzain Mungkin Sertai Skuad Malaysia B-22 Pada Minggu Hadapan