Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 25 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, E. Elavarasan untuk menyertai kem latihan pusat bermula 19 April bagi menghadapi acara bola sepak lelaki Sukan SEA Cambodia 2023 pada bulan depan.

Daripada senarai itu, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang sebelum ini terlepas bersama pasukan B-22 kini kembali bersama skuad kendalian Elavarasan yang dilihat mengekalkan majoriti pemain-pemain yang beraksi di Piala Merlion Cup 2023 bulan lalu.

Lebih mengejutkan, tiada kelibat penyerang muda negara yang kini berkelana di Iceland iaitu Luqman Hakim Shamsudin walaupun khidmatnya ditagih oleh Elavarasan.

Bagi panggilan kem latihan pusat kali ini, ia terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa 1 yang mana kesemua pemain dikehendaki melaporkan diri pada Rabu ini, 19 April untuk tiga hari latihan sehingga Jumaat, 21 April 2023.

Para pemain akan diberi Cuti Hari Raya Aidilfitri selama dua hari pada 22 dan 23 April, sebelum mereka perlu melapor diri secara berperingkat untuk kem latihan pusat Fasa 2 bermula Isnin, 24 April 2022, bergantung kepada penglibatan mereka dalam perlawanan Liga Super bersama kelab masing-masing pada minggu berkenaan.

Skuad junior negara akan berlepas ke Kemboja pada 2 Mei 2023 dan membuka tirai saingan Kumpulan B bertemu Laos B-22 pada 3 Mei 2023 kemudian menentang Thailand B-22 (6 Mei 2023), Vietnam B-22 (8 Mei 2023) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 pada 11 Mei 2023.

Jika pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei 2023 dan aksi final serta penentuan tempat ke-3/4 berlangsung pada 16 Mei 2023.