Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa pemain muda yang berpengkalan di luar negara bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan bawah 22 tahun (B-22).

Baca Juga:

Skuad kendalian E. Elavarasan itu akan menghadapi kejohanan penting iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung pada bulan September ini di Thailand.

Justeru itu, dua pemain dari kelab eropah iaitu Nooa Laine (SJK Akatemia) dan Luqman Hakim (UMF Njardvik) bakal dipanggil menyertai skuad Malaysia B-22.

Hamidin juga menjelaskan Malaysia perlu layak ke Piala Asia B-23 tahun depan kerana ia menawarkan tiket ke sukan Olimpik di Paris 2024.

“FAM sudah berhubung dengan Luqman Hakim dan Nooa, dua pemain ini memang dapat dilepaskan kali ini, jadi FAM harap skuad B-23 dapat bentuk pasukan yang mantap untuk pusingan kelayakan akan datang,” katanya dalam bernama. 

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan tuan rumah, Thailand, Bangladesh dan Filipina.

Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir tahun depan yang merupakan pentas merebut tiket beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Kelayakan Piala Asia B-23, mereka juga akan menghadapi kejohanan AFF B-23 yang akan berlangsung di Chonburi pada Ogos ini. Namun, beberapa tonggak utama mungkin tidak dilepaskan kerana berlangsung di luar kalendar FIFA.

“Tetapi kena ingat kejohanan B-23 AFF bukan dalam kalendar FIFA, ramai pemain tidak akan dilepaskan (kelab) jadi dia (Elavarasan) akan cuba pemain yang tidak terlibat dengan aksi Liga Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Elavarasan membimbing pasukan berkenaan untuk muncul juara Piala Merlion di Singapura, Mac lepas.