Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mungkin akan beraksi dalam saingan Thai League 1 setelah beliau meninggalkan kelab India, Odisha FC.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana perbincangan antara pihak Liridon dan kelab yang tidak disebut namanya sedang berlangsung ketika ini.
Pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi yang tidak kekal beraksi di Liga India susulan tamat tempoh pinjaman bersama Odisha FC bakal buat kemunculan dalam Thai League 1 jika perbincangan bersama sebuah kelab dipersetujui sebelum jendela perpindahan berakhir Ogos depan.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) July 4, 2022
Sekiranya perbincangan berjalan lancar, maka Liridon akan menandatangani kontrak bersama pasukan tersebut dan menjadi pemain dari Malaysia yang beraksi di Thailand musim hadapan.
Pemain berusia 30 tahun itu meninggalkan Odisha setelah tempoh pinjamannya tamat pada 30 Jun lalu. Beliau menyertai kelab tersebut secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada bulan Ogos 2021.
Sebelum ini Liridon telah dipinjamkan ke Newcastle Jets selama enam bulan dan sempat merasai pengalaman beraksi sembilan perlawanan dalam kancah Liga Australia (A-League).
Until next time, Matdon 💜
Thank you for everything! ✨#OdishaFC #AmaTeamAmaGame pic.twitter.com/cGULXwobTD
— Odisha FC (@OdishaFC) June 29, 2022
Bekas pemain Kedah Darul Aman dan Melaka United itu membuat penampilan sulung bersama Odisha FC pada 24 November 2021 ketika menentang Bengaluru sekaligus mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia yang pertama beraksi di Liga Super India.
Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh ISL pada 24 Februari lalu, pemain naturalisasi Harimau Malaya itu memiliki purata 91.67% kejayaan melepasi lawan hasil skil individunya itu.
Selain itu, Liridon Krasniqi turut digelar sebagai ‘The General’ di kalangan pengikut ISL dimana beliau membuat 16 penampilan secara keseluruhan untuk kelab yang berpengkalan di Bhubaneswar sepanjang musim lepas.
Sejak beraksi bersama Odisha, Liridon kembali dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon setelah kali terakhir menyarung jersi negara pada saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun tahun lalu.
Liridon juga sempat beraksi ketika Malaysia menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura dengan menentang tuan rumah selain Filipina dan Albirex Niigata Singapore dimana beliau menjaringkan dua gol.
Sebelum ini, ada beberapa pemain dari Malaysia yang pernah beraksi dalam saingan Thai League 1 antaranya Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) serta Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero).
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
AFF Wanita 2022: Jacob Joseph Dedah Kelemahan Ketara Skuad Negara