Ketua jurulatih skuad wanita negara, Jacob Joseph melihat anak buahnya berada dalam keadaan panik sehingga merencatkan aksi pada pertemuan sulung bertemu Singapura kempen Piala AFF Wanita 2022 yang berlangsung di Manila, Filipina.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Memorial Rizal itu berkesudahan dengan terikat tanpa jaringan dimana saingan kumpulan A turut menampilkan gergasi bola sepak dunia, Australia, Thailand, Indonesia dan tuan rumah, Filipina.
“Kita tahu bahawa Singapura membuat persiapan dengan cukup rapi sejak daripada Sukan SEA lagi dan turut mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan,” ujar Jacob bercakap dalam sidang media secara maya bersama media tempatan.
“Pemain Malaysia dilihat mempunyai masalah dari segi kecergasan dan para pemain juga kelihatan begitu mudah panik sehingga mereka kehilangan penguasaan bola.”
“Saya harap pada perlawanan kedua bertemu Indonesia kami akan bersedia dengan lebih baik untuk mendapatkan tiga mata penuh.”
“Kami tidak tahu bagaimana cara Indonesia bermain tetapi saya berharap agar para pemain kita akan lebih fokus dan beraksi dengan lebih yakin pada perlawanan kedua nanti,” tambah Jacob Joseph lagi.
Skuad diketuai Steffi Sidhu itu akan berhadapan dengan Indonesia pada perlawanan kedua yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini jam 7.00 malam di Stadium Bola Sepak Binan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Piala FA 2022: Diundi Bertemu JDT, Asri Jangka Aksi Sukar Buat Melaka