Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalinggam mengesahkan lima penaja baru berminat untuk menaja saingan Liga Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, Kevin menjelaskan pihaknya masih merahsiakan identiti lima syarikat yang berminat terbabit kerana masih dalam proses perbincangan.
“Ia akan ambil masa beberapa minggu lagi sebab semua masih dalam proses perbincangan dan pertimbangan. Lima syarikat,” kata Kevin menurut laporan Berita Harian.
Badan pengelola Liga Malaysia itu terpaksa mencari penaja baharu selepas penaja sebelumnya, Telekom Malaysia (TM) mengambil keputusan untuk menamatkan penajaan secara rasmi bulan lalu.
MFL kemudiannya bertindak balas dan memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap TM bagi menjaga kepentingan Liga Malaysia itu sendiri.
Saman TM Adalah Langkah Pertahankan Kepentingan Pasukan Liga Malaysia https://t.co/pNhMNw6dSh
— VOCKET FC (@vocketfc) March 24, 2019
Pada masa yang sama, Kevin memberi jaminan MFL tidak akan lari daripada tanggungjawab membayar geran tahunan berjumlah RM3 juta bagi Liga Super dan RM1 juta untuk Liga Perdana.