Sudah masuk tahun 2022, isu tunggakan gaji terus mewarnai saingan Liga Malaysia apabila pasukan dari selatan, Melaka United dilaporkan masih mempunyai tunggakan gaji dengan beberapa pemain yang beraksi pada musim lepas.
Perkembangan itu disahkan oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) apabila mereka mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyatakan solidariti kepada para pemain Skuad Utama Melaka United FC dan juga Pemain Skuad Piala Presiden Melaka United FC.
Mereka mengesahkan tunggakan gaji yang melibatkan pemain Skuad Utama adalah sebanyak 3 bulan dan tunggakan bagi Skuad Piala Presiden adalah sebanyak 2 bulan setengah.
“PFA Malaysia telah pun menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.
“PFA Malaysia ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan merupakan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United. Para pemain telah pun memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera,” tulis kenyataan rasmi.
Kami di PFA Malaysia ingin menyatakan solidariti kami kepada para pemain Skuad Utama Melaka United FC dan juga Pemain Skuad Piala Presiden Melaka United FC. [1/5] pic.twitter.com/F133dRCwqg
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) January 11, 2022
Bekas pemain pertahanan Melaka United, Khairul Helmi Johari yang kini menyertai pasukan TRW Kelantan turut mendedahkan beliau masih menunggu tunggakan gajinya selama 4 bulan yang masih belum dijelaskan oleh kelab tersebut.
“Sampai sekarang saya masih berusaha untuk dapatkan (baki gaji), pemain masih tunggu. Tidak tahu sampai bila dan harap Melaka dapat selesaikan segera sebab ini sudah memasuki musim baru.
“Ada pemain yang kekal dan ada yang sudah bawa haluan masing-masing. Saya tidak tahu tarikh sebenar yang mereka janjikan, saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada Astro Arena.Â
Ketika kita disajikan dengan keterujaan menyaksikan musim baharu Liga Malaysia, tidak dinafikan terdapat beberapa masalah yang berulang setiap musim sekaligus menyukarkan liga untuk melangkah ke tahap yang lebih baik.
Masalah tunggakan gaji ini akan memberikan imej yang kurang baik kepada Liga Malaysia maka sukar untuk mana-mana penaja mahu terlibat dengan pasukan dan mengurangkan keyakinan syarikat besar untuk menjadi penaja utama.
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia melalui pautan dibawah.Â
Pemilik Baharu Sahkan Tunggakan Gaji Perak FC Akan Diselesaikan Dengan Dua Kali Bayaran
Ada Hutang Tertunggak Dengan LHDN, Sarawak United Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat
Stuart Ramalingam Gesa Pemain Hadapi Isu Gaji Tampil Ke Hadapan
Nafi Ada Potongan Gaji 50%, Selangor Sentiasa Bayar Gaji Penuh ‘On Time’