Kelab Bolasepak Perak (Perak FC) telah mencapai persetujuan sementara dengan para pemainnya mengenai tunggakan gaji yang berlanjutan, menunjukkan langkah awal kelab berkenaan ke arah transformasi di bawah pemilik baharu, Impact Media and Communications’ (IMC).
Perjanjian yang dikeluarkan kepada pemain-pemain Perak FC menyatakan bahawa kelab tersebut telah bersetuju untuk bertanggung jawab ke atas pembayaran gaji yang tertangguh dari bulan Ogos hingga November 2021, berjumlah lebih daripada RM1 juta yang akan dibahagikan kepada dua pembayaran.
Bayaran pertama akan dikeluarkan pada 31 Disember 2021 sementara bayaran kedua akan dikeluarkan pada 31 Januari 2022.
Pemain-pemain itu, sebelum ini telah meminta kelab tersebut untuk melunaskan pembayaran pertama sebelum 25 Disember 2021, walau bagaimanapun, dengan proses urusan peralihan hak milik kelab yang sedang dijalankan, pembayaran pertama hanya akan dilakukan pada 31 Disember.
“Kami memahami situasi semasa para pemain kami dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin merupakan keutamaan kami. Para pemain sangat penting bagi kelab dan dalam tempoh mencabar ini, kami mahu memastikan kebajikan pemain-pemain dijaga supaya mereka boleh memberikan fokus kepada permainan dan menikmati sukan bola sepak yang mereka sayangi tanpa sebarang kegusaran,” kata Khairul Nizam Mahmood, Pengerusi Eksekutif Perak FC.
“Walaupun surat aku janji telah dikeluarkan kepada kesatuan pemain, kemungkinan besar majoriti pemain-pemain akan menandatangani perjanjian tersebut secara perseorangan sebaik sahaja bayaran pertama yang dijadualkan pada 31 Disember dibayar.”
”Kami juga akan menghubungi pemain-pemain import kami yang telah meninggalkan Malaysia melalui wakil mereka atau kesatuan pemain dalam minggu yang berikutnya,” tambah Khairul lagi.
Pada awal bulan ini, IMC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk pengambilalihan hak milik PerakFC. Perpindahan hak milik tersebut telah selesai dilakukan pada 24 Disember 2021 dan IMC telah memulakan proses transformasi kelab tersebut.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:
Mbappe” “Seumur Hidup Saya Tak Akan Beraksi Untuk Tottenham Hotspur”
Tinggalkan FC Tokyo, Tsuyoshi Watanabe Kini Rakan Sepasukan Luqman Hakim Dalam Skuad KV Kortrijk