Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia mahu mengambil kesempatan sepenuhnya atas kehadiran Wong Tat Meng sebagai jurulatih baharu beliau.

Baca Juga:

Selepas beberapa bulan bergerak tanpa jurulatih dan hanya dipantau serta mendapat bimbingan Liew Daren, Zii Jia akhirnya memilih untuk mendapatkan khidmat Tat Meng.

Melihatkan kepada prestasinya kurang meyakinkan pada beberapa kejohanan terakhir disertainya, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-16 dunia enggan memandang ke belakang lagi.

Menurut sumber kenyataan dikeluarkannya menerusi video di laman rasmi Team LZJ, beliau turut mendedahkan sebab beliau memilih bekas pengendali skuad badminton kebangsaan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan dan Hong Kong itu.

“Saya rasa ini merupakan permulaan semula sekali lagi dan diharapkan apa yang diajarkan oleh ‘coach’ Tat Meng, saya dapat sesuaikan diri dengan secepat yang mungkin.”

“Ini kerana kita sudah kesuntukan masa. Dia merupakan seorang jurulatih yang begitu berpengalaman, jadi kita harapkan akan dapat membina satu persefahaman yang sangat istimewa.”

“Pertamanya sudah tentu kerana pengalamannya. Dia sudah ada [bertugas] sejak masa (Datin) Wong Mew Choo sampai sekarang.”

“Kita juga telah membuat pemerhatian dimana dia pernah membimbing Korea Selatan, sebelum ini di Hong Kong dan dia juga mempunyai keputusan yang sangat bagus.”

“Sebab ketiga adalah kerana dia juga merupakan rakyat Malaysia. Saya berharap saya ada seorang jurulatih tempatan yang mana kita boleh bersaing untuk impian di Sukan Olimpik sebagai rakyat Malaysia,” tambah Lee Zii Jia lagi.

 

 

 

 

Sumber