Penyerang PJ City FC, Darren Lok menyifatkan dua gol yang diciptanya setakat ini merupakan permulaan yang cukup baik untuknya kembali membina nama selepas sekian lama bergelut dengan prestasi sendiri.
Darren yang sebelum ini beraksi bersama Terengganu FC mengakui prestasinya musim lalu tidak berada di tahap memuaskan apabila jarang diturunkan dalam kesebelasan utama sebelum dia dipinjamkan ke Terengganu FC II.
Justeru, dua perlawanan awal Liga Super 2021 membuktikan kembali kemampuan pemain berusia 30 tahun ini yang ternyata dapat memberi impak kepada pasukan di bahagian serangan apatah lagi PJ City FC pada musim ini menggunakan keseluruhan khidmat pemain tempatan tanpa pemain import.
Dua gol yang dijaringkannya adalah ketika menentang Melaka United FC pada Rabu lalu yang menyaksikan perlawanan itu berakhir seri 2-2.
Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tersebut menyaksikan Darren meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti dan kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti kontroversi pada lewat permainan.
Susulan dengan keupayaannya mencetak nama selaku penjaring gol, Darren sudah pastinya mengharapkan aksi berdepan Sabah FC, malam esok akan membuahkan hasil yang lebih positif untuk mereka membawa pulang tiga mata penuh.
“Sememangnya ia permulaan yang sangat positif untuk diri saya kerana memang sudah lama tidak dapat momentum yang sempurna seperti ini.
“Sebelum ini saya agak kecewa kerana merasakan sudah terlewat untuk menjaringkan gol pada musim lalu tetapi sekarang bersyukur dengan apa yang saya ada bersama pasukan baharu.
“Cuma apa yang saya buat ketika ini bukan semata-mata untuk prestasi peribadi sahaja, tetapi sejauh mana saya dapat menyumbang kepada pasukan ini untuk berada di tahap terbaik musim ini,” ujar Darren Lok.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Revolusi Kehadiran Thomas Tuchel Yang Mengubah Nasib Chelsea
RASMI: UAE Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022
Melaka United Mahu Pengadil Perlawanan Dan Khairil Anuar Diambil Tindakan