Melaka United mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengadil perlawanan menentang Petaling Jaya City, Fairuzi Md Desa serta pemain lawan, Ahmad Khairil Anuar yang melakukan simulasi untuk mendapatkan sepakan penalti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Saiful Mat Sapri menegaskan pihaknya telah menghantar surat bantahan yang disertakan dengan bahan bukti kepada FAM agar siasatan dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil ke atas Fairuzi dan Khairil.
Pada pandangan anda, macam mana? pic.twitter.com/ozaPaWbuec
— VOCKET FC (@vocketfc) March 10, 2021
“Kita sangat tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan yang dirasakan tidak profesional dan keputusan itu memberi kesan kepada pemain dan pasukan ini. Kita harap FAM boleh mengambil tindakan kepada pengadil dan pemain PJ City FC itu juga.
“Kita sudah hantar surat bantahan yang turut disertakan dengan kepingan gambar insiden itu, video simulasi, ‘post mortem’ kita sendiri selain rakaman perbualan pembantu pengadil yang menyatakan tiada sepakan penalti dan pemain PJ City FC patut menerima kad kuning,” kata Datuk Saiful menurut laporan Berita Harian.
Pada minit ke-80 permainan, Fairuzi menghadiahkan sepakan penalti kepada PJ City selepas membuat keputusan yang pemain Melaka, S.Kumaahran mengasari Ahmad Khairil atau Beto di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, ulang tayang menunjukkan Kumaahran sama sekali tidak menyentuh Khairil dan bekas pemain Perak itu terjatuh dengan sendirinya sekaligus melakukan simulasi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berakhir dengan keputusan 2-2 dan kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri buat kali kedua berturut-turut dalam perlawanan kedua Liga Super musim 2021.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Liga Super Malaysia 2021 Minggu Ke-2 Catat 3.38 Juta ‘Views’, Meningkat Hampir 1 Juta Tontonan
Subkhiddin Beri Nasihat Kepada Pengadil, Perlu Berikan Lebih Tumpuan Kepada Perlawanan