Pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam berminat untuk membawa dua pemain negara, Stuart Wilkin dan Darren Lok ke saingan Liga Thailand untuk beraksi bersama kelabnya iaitu Port FC.
Baca Juga:
- Madame Pang: Bukan Mudah Beraksi Di Stadium Nasional Bukit Jalil
- Polking Gembira SNBJ Tutup 21,000 Tempat Duduk
- Kim Pan-Gon: Ini Antara Aksi Terbaik Malaysia Sejak Saya Mula Bimbing Pasukan
Nualphan atau yang lebih mesra disapa Madame Pang nyata tertarik dengan prestasi yang ditampilkan oleh Stuart dan Darren dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang sedang berlangsung ketika ini.
“Kami juga memantau beberapa pemain Malaysia yang beraksi dalam kejohanan Piala AFF kali ini, saya hargai ketua pasukan (Safawi Rasid) yang bermain di Liga Thailand bersama kelab Ratchaburi.
“Begitu juga Dion Cool (Buriram United), ada ramai pemain bagus, saya lihat perlawanan terakhir (menentang Singapura) pemain nombor 8 (Stuart Wilkin) yang menjaringkan dua gol menentang Singapura.
“Begitu juga nombor sembilan (Darren Lok) kerjasama yang bagus,” kata Madame Pang dipetik dari laporan Flash Sukan.
Setakat ini, Stuart Wilkin menjaringkan tiga gol dalam saingan Piala AFF dimana selain dua golnya ketika menentang Singapura, beliau turut menjaringkan gol ketika perlawanan bertemu Laos.
Bagi Darren Lok pula, beliau setakat ini menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan Singapura pada aksi terakhir kumpulan B dengan keputusan 4-1.
Ketika ini, Port FC berada di tangga ke-7 dalam carta Thai League 1 dimana mereka dibezakan 17 mata dengan pasukan pendahulu iaitu Buriram United.
Bagi saingan separuh masa kedua Thai League 1, ada empat pemain Malaysia yang beraksi di negara tersebut iaitu Safawi Rasid (Ratchaburi), Dion Cools (Buriram United), Liridon Krasniqi (Khon Khaen United) dan Junior Eldstal (PT Prachuap).
Seorang lagi pemain negara, Zafuan Azeman turut beraksi di Thailand dimana beliau menyarung jersi kelab divisyen dua iaitu Uthai Thani FC.