Ketika tumpuan menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 terarah kepada JDT, Selangor MAC dan Pahang Rangers, kemampuan skuad futsal Pulau Pinang juga sewajarnya tidak dipandang sepi.

Berada di kedudukan keempat dalam saingan liga dan Piala Futsal Malaysia musim lalu, skuad kendalian Hasnizal Hashim itu mengintai sesuatu yang lebih besar pada kempen 2023.

Pulau Pinang yang menjadikan Kompleks Sukan Balik Pulau sebagai gelanggang rasmi pasukan dilihat bakal tampil dengan lebih garang berikutan kehadiran dua pemain import.

Dua pemain yang diharapkan dapat membentuk gandingan mantap bersama tenaga tempatan itu ialah Saman Dashan (Iran) dan Muhammad Iqbal Pasaribu dari Indonesia.

Pernah beraksi bersama kelab gergasi Iran seperti Mes Sungun Varzaghan FSC serta Foolad Mobarakeh Sepahan Isfahan, Saman mengecapi nikmat selaku juara Liga Super Iran pada musim 2019 dan 2021.

Khidmat Saman Dashan ditagih. Kredit Foto: FA Penang

Manakala, Iqbal yang berasal dari Sumatera Utara pernah beraksi dalam saingan Liga Profesional Indonesia dengan menyarung jersi Giga FC Kota Metro Lampung.

Darisan pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya selepas Pulau Pinang mengekalkan Muhammad Firdaus Zulkefli yang sebelum ini beraksi dalam Liga Futsal Thailand.

Selain itu, khidmat serta pengalaman penjaring enam gol musim lalu, Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip masih ditagih skuad futsal Pulau Pinang untuk mengepalai pasukan.

Malah, tenaga baharu yang direkrut oleh Hasnizal juga cukup berkualiti seperti Afif Najmi Muhamad Izwan (lapan gol musim lalu) Razin Rahim (enam gol), Shah Azman Ekmal Saleh, Muhammad Asyraff Abdul Jalal dan beberapa pemain lagi.

Mengulas mengenai skuad yang dimiliki, beliau jelas berpuas hati dengan barisan pemain dan optimis mampu untuk memberikan saingan kepada pasukan lain.

“Sudah pastinya sasaran kami kali ini adalah untuk memperbaiki apa yang telah dicapai pada musim lalu,” ujar Hasnizal bercakap kepada wakil Vocket FC.

Hasnizal (berkaca mata) memberikan arahan ketika aksi persahabatan bertemu JDT. Kredit Foto: FA Penang

“Seperti biasa saya lebih suka kami dilabelkan sebagai pasukan ‘underdog’ dan InsyaAllah Pulau Pinang akan memberikan tekanan dan kejutan kepada pasukan lain yang bertanding dalam saingan MPFL musim ini.”

“Melihatkan kepada kumpulan kami, saya tidak melihat kami berada dalam kumpulan mudah kerana setiap pasukan yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing.”

“Situasi yang berbeza berbanding musim lalu kerana kali ini Pulau Pinang mempunyai kelebiha bagi pemain di setiap posisi dengan kehadiran pemain senior yang akan menerajui dan membimbing pemain muda.”

“Selain itu, kehadiran dua pemain import juga penting dalam memperkuatkan lagi pasukan,” tambah Hasnizal lagi.

Diletakkan dalam kumpulan A, skuad futsal Pulau Pinang akan menghadapi lawan seperti Kedah, ATM, Terengganu, Pahang Rangers, Sabah dan KPT Mustangs.