Pengurus Besar Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Yusuf Ibrahim tidak menolak kemungkinan mereka akan menyerap masuk lebih ramai pemain muda berdarah kacukan yang berkualiti melalui pencarian bakat di seluruh negara.
Baru-baru ini, pemain berdarah kacukan Malaysia-Nigeria, Aidiel Zacharia Firdaus Nelson Abdullah yang berusia 12 tahun disahkan bakal menyertai AMD pada tahun depan. Bakatnya dikesan ketika beraksi bersama sebuah akademi dari Kuala Lumpur.
Bercakap dalam Stadium Astro, Aidiel dipilih berdasarkan potensi yang ada padanya bertepatan dengan hala tuju bola sepak Malaysia untuk memastikan pasukan kebangsaan mempunyai pemain yang berkualiti di masa depan.
“Kami selari dengan pelan F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kami mahu mengambil langkah awal dalam mendapatkan bakat berdarah kacukan. Bakat serta potensi menjadi keutamaan sebelum diserap ke AMD,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mendedahkan mulai tahun depan, MSN akan meletakkan tanda harga kepada semua pemain muda dalam AMD.
Ia bermakna mana-mana pasukan liga tempatan atau kelab dari luar negara yang berminat untuk mendapatkan pemain tersebut, perlu membayar sejumlah wang pampasan yang mencecah lebih RM200,000 kepada AMD.
“Kami sudah bincang dan bentangkan di mana ada skema yang disediakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pemain pembangunan ini… ia bukan harga jualan pemain tetapi insentif pampasan kepada akademi.
“Sebelum ini mereka lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain tetapi kini ia perlu melalui akademi.
“Insentif ini adalah satu pampasan bagi akademi yang berusaha membangunkan pemain dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu pula,” katanya dalam Arena Metro.
Shapawi turut menjelaskan harga yang akan dikenakan nanti bergantung kepada ketetapan FIFA, namun berjanji ia tidak membebankan pasukan atau kelab.
“Kami tidak mahu menetapkan harga yang terlalu tinggi kerana perkara penting adalah pelatih dapat kembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi termasuk bermain bersama pasukan tempatan atau luar negara,” katanya.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan program pembangunan bola sepak negara yang mungkin anda terlepas pandang.
Belanjawan 2020: RM45 Juta Diperuntukkan Untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara
Saad Ichalelene Dilantik Sebagai Pengarah Teknikal NFDP Yang Baharu
Lim Teong Kim Berangkat Pulang Ke Munich Selepas Tamat Kontrak Bersama NFDP.