Bekas penyerang prolifik pasukan kebangsaan Vietnam, Le Cong Vinh menganggap The Golden Dragons masih lagi belum mencapai tahap untuk menjadi pencabar kepada pasukan gergasi di rantau Asia.
Sejak dibimbing oleh Park Hang-seo, pasukan senior dan B-23 tahun Vietnam berjaya meraih beberapa kejuaraan seperti Piala AFF Suzuki 2018 dan pingat emas Sukan SEA 2019 serta berjaya mara ke perlawanan akhir saingan AFC B-23 Tahun edisi 2018 lalu.
Namun menurut Cong Vinh, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menjadi pencabar kepada pasukan gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Qatar.
“Sejak dua tahun terakhir, skuad senior dan B-23 tahun telah mencapai kejayaan. Ini merupakan perkara yang baik dan boleh meningkatkan motivasi bola sepak di Vietnam.
“Tetapi kita perlu meningkatkan mutu bola sepak di Vietnam kerana masih jauh untuk menjadi pasukan pencabar di rantau Asia apatah lagi dunia,” kata Le Cong Vinh menurut laporan TheThao247.
Meskipun tampil memberangsangkan dalam saingan Sukan SEA 2019, namun Vietnam gagal untuk mengulangi pencapaian pada edisi 2018 lalu dalam saingan AFC B-23 Tahun di Thailand Januari lalu.
Anak-anak buah Park Hang-seo menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan hanya mengutip dua mata hasil daripada keputusan seri ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan. Vietnam turut tewas kepada Korea Selatan.
Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan Vietnam di sini:
Nguyen Quang Hai Tersenarai Dalam “Forbes’ 30 under 30”, Bukti Pengaruh Kuatnya Untuk Rakyat Vietnam
Nguyen Quang Hai Akui Malaysia Bukan Lawan Mudah, Tetapi Thailand Paling Bermasalah Untuk Vietnam