Bermula musim ini, laman web Malaysia Football League (MFL) kini berwajah baharu selaras dengan penstrukturan semula Liga Malaysia yang lebih relevan dengan arus permodenan bola sepak.

Perubahan laman web tersebut membolehkan para peminat bola sepak tempatan mendapatkan maklumat mengenai pasukan masing-masing dengan lebih tepat dan padat dengan pelbagai info menarik seperti senarai pemain, statistik jaringan gol, kedudukan liga serta lain-lain.

Ia juga merupakan sumber rujukan utama oleh pengamal media untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai senarai penjaring terbanyak dan juga rekod pertemuan antara dua pasukan dalam setiap perlawanan.

Malah, para peminat juga boleh melihat rekod minit permainan serta jumlah jaringan dan bantuan gol yang dilakukan oleh pemain Liga Malaysia berdasarkan pemerhatian dalam setiap perlawanan.

Menerusi data ini, kita boleh melihat statistik pemain yang lebih terperinci sekaligus membantu peminat mendapatkan gambaran sebenar mengenai prestasi pemain dalam pasukan mereka.

Turut dipaparkan dalam laman web ini ialah jadual penuh perlawanan Liga Malaysia yang disertakan dengan ‘preview’ dua pasukan terlibat.

Dengan menekan butang ‘preview’, anda boleh melihat rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan tersebut dan juga jumlah kad kuning serta kad merah yang dikutip oleh pemain dalam pasukan masing-masing.

Jika anda terlepas menyaksikan perlawanan Liga Malaysia, tidak perlu bimbang lagi kerana laman web rasmi MFL juga kini dilengkapi dengan video rangkuman semua perlawanan Liga Malaysia termasuk Piala MFL yang melibatkan pasukan bawah 23 tahun.

Untuk makluman, 127 perlawanan Piala MFL 2023 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube MFL bermula kelmarin, Khamis (2 Mac 2023). Siaran ini memudahkan tugas pencari bakat untuk menilai prestasi pemain muda sebelum diserap menyertai skuad utama.

Selain itu, MFL juga akan menyiarkan 5 jaringan terbaik dalam setiap perlawanan mengikut mingguan yang dibawakan secara eksklusif untuk tontonan peminat bola sepak tempatan.

Pembaharuan dari segi laman web ini yang padat dengan pelbagai info mampu menyuntik penggunaan fasiliti analisis data dengan meluas sekaligus memajukan bola sepak tempatan ke peringkat lebih tinggi.