Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) terpaksa menutup bahagian komen di laman instagramnya apabila diserang oleh penyokong Indonesia yang menghamburkan kata-kata kesat sejak semalam.
Meskipun Indonesia meraih kemenangan 2-0 ke atas Singapura dalam perlawanan kedua acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 kelmarin, namun para penyokong mereka masih tidak berpuas hati dengan tindakan Zulqarnaen Suzliman melakukan kekasaran terhadap Egy Maulana Vikri ketika minit akhir perlawanan.
Malah, laman instagram Shahdan Sulaiman turut menjadi mangsa serangan oleh netizen Indonesia yang menganggap beliau ialah orang yang sama melakukan kekasaran itu.
Shahdan turut terkejut apabila mendapati lebih 1000 komen negatif menghiasi setiap posting di instagramnya sambil mentertawakan mereka kerana tersilap orang.
Disebabkan tidak tahan dengan perbuatan warga Indonesia tersebut, pemain sayap skuad garuda, Saddil Ramdani bertindak mengeluarkan kenyataan meminta mereka menghentikan komen-komen negatif terhadap pemain tersebut yang juga merupakan rakan kepada rakan sepasukannya dalam skuad Pahang, Safuwan Baharudin.
“Kepada penyokong Indonesia, ini rakan teman sepasukan saya yang tidak terlibat dalam kejadian semalam (kelmarin) kerana dia berada di Singapura dan jadi tolong bersikap matang.
Saya harap jangan ada lagi bahasa yang kurang enak terhadap sahabat baik kita ini,” tulisnya.
Zulqarnaen Suzliman mohon maaf kepada Egy Maulana Vikri
Pemain tengah Singapura, Zulqarnaen Suzliman bagaimanapun mengakui bersalah apabila gagal mengawal emosi lalu menendang bola ke arah Egy Maulana Vikri.
Melalui kiriman mesej peribadi kepada pemain tersebut, beliau memohon maaf sambil meminta mereka tidak memperbesarkan lagi masalah isu tersebut.
“Salam Egy, ini aku yang tendang bola ke kamu. Aku enggak ada niat apa-apa untuk cederah kan kamu. Harap kamu maafkan aku dan kita tinggalkan apa yang terjadi di dalam padang! Harap sukses selalu dan berjuang terus di SEA Games!” Harap kamu bole balas dan kita bole meredah kan situasi ini,” tulis Suzliman.
Permohonan maaf Zulqarnaen mendapat respons daripada Egy Maulana yang menganggap ia merupakan perkara biasa berlaku dalam sukan bola sepak dan tidak menyimpan dendam kepada mana-mana pemain lawan.
“Bro take it easy. For me no problem bro. Itu biasa di dalam lapangan bro, setelah itu kita kembali bersahabat. Tenang bro saya tidak ada dendam dan masalah dengan kamu bro. Semoga kamu sukses terus bro,” tulis Egy.
Selepas mencatat kemenangan ke atas Singapura, Indonesia kini menghuni kedudukan kedua dalam kumpulan B dibelakang Vietnam dengan 6 mata dan mereka berpeluang cerah untuk mara ke separuh akhir jika tidak tewas dalam baki perlawanan yang akan datang.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan terkini bola sepak Sukan SEA 2019.
Sukan SEA 2019: Ong Kim Swee Anggap Malaysia Masih Ada Peluang Ke Separuh Akhir
Sukan SEA 2019: Skuad Bola Sepak Indonesia Hadapi Masalah Cari Makanan Halal Di Filipina