Hasrat skuad bawah 22 tahun Malaysia (B-22) untuk mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan kedua acara bola sepak lelaki Sukan SEA tidak menjadi kenyataan apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah, Filipina di Stadium Memorial Rizal malam tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan peluang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mara ke peringkat separuh akhir semakin sukar selepas Malaysia hanya raih satu mata manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan, diikuti Kemboja dan Filipina masing-masing dengan empat mata.

Bagaimanapun, Kim Swee tetap yakin skuad bimbingannya akan mara ke peringkat seterusnya dan menuntut pemainnya bangkit dalam baki dua perlawanan yang akan datang.

“Para pemain perlu perbaiki sekarang dan tunjukkan permainan sebenar untuk menang dua perlawanan seterusnya. Secara kiraannya, kita masih berpeluang untuk layak ke separuh akhir,” katanya dalam Bernama selepas tamat perlawanan.

74814333_2534697459960336_4005856223919341568_o
FOTO: FAM

Dalam perlawanan itu, skuad “The Junior Azkals” bermula dengan garang berbekalkan sokongan padu daripada ribuan penyokong mereka sehingga memberi tekanan kepada benteng pertahanan skuad negara.

Malah, mereka juga memanfaatkan kelebihan dari segi fizikal sehingga memberi kesukaran kepada jentera serangan Malaysia yang diketuai oleh Hadi Fayyadh untuk mencari jaringan pembukaan.

Satu-satunya peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke 23 melalui sepakan percuma Adam Nor Azlin namun rembatannya mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol Filipina, Anthony Pinthus.

Pemain import PKNP FC, Amani Aguinaldo kemudian menghukum kelekaan benteng pertahanan Malaysia dengan menanduk masuk bola sepakan sudut Stephen Schrock yang gagal ditampan keluar oleh penjaga gol negara, Haziq Nadzli pada minit ke 71.

Skuad negara cuba bangkit namun mereka kelihatan sudah tidak bermaya lagi dan sudah terlambat untuk mencari jaringan penyamaan berikutan dua penyerang simpanan, Luqman Hakim dan Kogileswaran dimasukkan pada minit akhir perlawanan.

Selepas ini, Malaysia akan menentang Timor Leste pada hari Isnin, sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Kemboja pada hari Rabu. Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan acara bola sepak lelaki Sukan SEA melalui pautan dibawah.

Indra Sjafri: Lebih Tegang Lawan Singapura Daripada Thailand

Osvaldo Haay Menggila, Indonesia Bungkam Singapura 2-0