Pengurus Liverpool menyatakan bahawa Darwin Nunez terlalu mudah termakan provokasi sehingga dia membuat tindakan menghantuk pemain lawan dan kad merah.
Pemain Uruguay itu telah menjaringkan satu gol dan satu assist dalam penampilan sulungnya dalam Liga Perdana minggu lalu menentang Fulham.
Klopp akhirnya meletakkan pemain itu di kesebelasan utama. Penampilan sulung Nunez di Anfield sebagai pemain Liverpool.
Malangnya, Nunez beraksi tak sampai sejam kerana dia dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
Nunez menghantuk Joachim Andersen dari Palace sehingga pemain itu terjatuh, menyebabkan pengadil melayangkan bola merah terus kepada Nunez.
Pada masa itu, Liverpool ketinggalan 1 gol menerusi gol separuh masa pertama Wilfried Zaha. Nasib baik mereka berjaya menyamakan kedudukan hanya 4 minit selepas Nunez dibuang padang.
Bercakap selepas perlawanan, Klopp berkata: “Ia adalah permulaan yang sangat baik, tepat seperti yang kami mahu, menunjukkan banyak keinginan, semuanya ada.”
“Kami kemudiannya tidak bernasib baik dalam banyak situasi. Pelan permainan untuk Palace jelas mempunyai lima pemain di belakang, menempatkan ramai pemain di belakang bola dan melakukan serangan balas. Ia sukar untuk dihadapi dengan kepantasan Zaha.”
“Separuh masa kedua sekali lagi bermula positif, tetapi mendapat kad merah adalah satu tamparan hebat.”
Klopp mengakui Nunez berhak mendapat kad merah itu, tetapi berkata penyerangnya diprovokasi. Andersen telah menolak Nunez di belakang.
“Sudah tentu ia merah, dia diprovokasi tetapi bukan itu caranya dia harus bertindak,” jelas Klopp lagi yang kecewa dengan tindakan Nunez termakan provokasi.
Namun begitu Klopp tetap berpuas hati dengan cara Liverpool bermain dengan 10 pemain dan berjaya menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.
“Kemudian kami menyamakan kedudukan empat minit kemudian. Dengan 10 pemain, melakukan usaha sedemikian. Perasaan sebenar saya sekarang ialah saya bangga dengan usaha pemain pemain saya.”
Aksi seterusnya, Liverpool akan berkunjung ke Old Trafford untuk aksi menentang Manchester United.
Kedua dua pasukan masih belum meraih sebarang kemenangan setakat ini. Liverpool dengan 2 seri selepas dua perlawanan. Manchester United pula sudah menelan 2 kekalahan daripada 2 perlawanan kompetitif pertama mereka di bawah Erik Ten Hag.