Bermain sebagai satu unit dan bekerja keras sepanjang permainan menjadi antara elemen kekuatan PJ City FC yang menjadikan pasukan itu berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.
Itu pandangan peribadi penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tchetche Kipre yang tidak terkejut dengan kemampuan PJ City setakat ini biarpun skuad yang diberi jolokan ‘The Phoenix’ dibarisi tanpa pemain import.
Justeru, Kipre melihat pertembungan dengan PJ City di Stadium Darul Aman pasti sukar buat KDA FC dan mereka perlu memanfaatkan segala peluang terhidang jika mahu terus konsisten meraih tiga mata di laman sendiri.
“Apa yang saya lihat tentang PJ City, mereka sebuah pasukan yang sentiasa bekerja dan mempunyai semangat berpasukan agak tinggi, jadi ini antara kekuatan yang dimiliki oleh mereka.
“Sudah tentu sukar buat mana-mana pasukan apabila berdepan mereka yang buat masa ini belum tewas dan kami perlu hormati mereka.
“Namun bermain di laman sendiri, kami tidak rela keciciran sebarang mata kerana ini kelebihan yang kami perlu ambil bagi memburu kedudukan liga yang lebih baik,” katanya.
Kipre telah menjaringkan satu gol bersama KDA FC pada musim ini semasa aksi bertemu Sabah FC yang membantu kepada kemenangan sulung pada musim ini selain satu mata yang dikutip semasa seri 1-1 dengan Penang FC.
Mengenai kehadiran bekas pemain import UiTM FC, Rabih Ataya, Kipre begitu gembira kerana keserasian mereka bersama Sherman semakin baik selepas melalui tiga perlawanan.
“Secara peribadi, Ataya sememangnya seorang pemain yang bagus cuma kami masih cuba untuk memahami cara permainan masing-masing di atas padang kerana tidak banyak perlawanan kami telah lalui bersama.
“Saya sememangnya gembira kerana ada pemain seperti dirinya bersama pasukan kerana akan lebih banyak membantu kami pada situasi menyerang kerana bijak membuka ruang kepada rakan sepasukan.
“Situasi dalam pasukan ini juga semakin baik dan harmoni, walaupun kami bermula dengan langkah kiri dengan tewas kepada JDT, namun banyak perubahan pada perlawanan kedua, ” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Banyak Pilihan Di Jentera Sayap, Ketiadaan Safawi Tak Bimbangkan Mora
ZamSaham Tidak Berminat Jadi Presiden MFL, Sedang Fokus Beli Kelab Indonesia