Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora, tidak bimbang tanpa Safawi Rasid bagi berdepan Selangor FC pada Rabu ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kerana masih mempunyai beberapa pilihan lain di posisi sayap kanan.
Menurut pengendali yang berasal dari Mexico itu, beliau mahu Safawi segera pulih dan yakin boleh sembuh dengan cepat memandangkan dia seorang pemain yang masih muda serta sanggup bekerja keras untuk kembali bermain.
Mora juga berkata beliau gembira semua pemain yang diturunkan setakat ini sentiasa mampu memberikan yang terbaik di atas padang dan ini memudahkan perancangannya untuk membuat penggiliran pemain.
“Pasukan ini masih mempunyai Aiman, Ramadhan, Sumareh, Akhyar untuk diturunkan malah Nazmi juga boleh bermain di posisi itu, saya sememangnya belum tahu lagi untuk menurunkan siapa sebagai penggantinya.
“Saya bernasib baik kerana pemain-pemain ini sentiasa beraksi dengan begitu cemerlang jika diberi ruang, semua ini hanya berkenaan pemain dan saya hanya bertindak sebagai pemberi keyakinan kepada mereka.
“Safawi sememangnya seorang pemain yang terbaik di dalam Malaysia, seperti mana yang saya pernah beritahu banyak kali sebelum ini tetapi inilah bola sepak, ada masanya anda perlu berehat untuk sembuh daripada kecederaan, ” ujar Mora.
Dalam masa sama, Mora turut merehatkan beberapa pemain utama ketika berdepan UiTM FC pada Sabtu lalu sebagai fokus bagi hadapi pertemuan dengan Selangor FC.
“Segala-galanya memang perancangan saya setelah melakukan analisa terperinci keadaan pemain dan saya merehatkan Leandro Velazquez, Afiq Fazail manakala Naxto Insa hanya bermain sehingga minit ke-60, Gonzalo Cabrera dikeluarkan pada pertengahan separuh masa pertama.
“Hampir lapan ke sembilan pemain utama tidak menamatkan perlawanan dengan UiTM kerana kami gunakan penggiliran pemain, sekali lagi, saya bernasib baik semua pemain mampu beraksi dengan baik, ” katanya ketika ditanya wartawan dalam sidang media selepas perlawanan dengan UiTM FC pada Sabtu lalu.
Rekod pertemuan musim lalu memihak kepada JDT yang melakar kemenangan besar 6-1 berdepan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim dengan Safawi meledak dua jaringan pada perlawanan itu selain Ramdhan (dua gol), Diogo dan Cabrera.
Perlawanan lain yang turut berlangsung pada Rabu ialah membabitkan Kuala Lumpur City FC dan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur serta Kedah Darul Aman (KDA) FC akan melayani kunjungan PJ City FC di Stadium Darul Aman.
Manakala Terengganu FC yang sedang mencabar hebat JDT selaku pendahulu, akan berdepan Melaka United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
ZamSaham Tidak Berminat Jadi Presiden MFL, Sedang Fokus Beli Kelab Indonesia