Pemain pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae membuat satu kenyataan yang mengejutkan peminat bola sepak negara itu selepas Korea tewas kepada Uruguay dalam satu aksi persahabatan baru-baru ini.

Min-jae menyatakan beliau lebih memipih untuo memberikan sepenuh fokus bersama kelabnya iaitu Napoli berbanding pasukan kebangsaan sambil mengakui beliau mengalami keletihan dari segi mental.

“Saya letih dari segi mental. Saya mahu fokus bersama kelab saya berbanding pasukan negara. Itu sahaja komen saya setakat ini,” katanya.

Meskipun membuat kenyataan yang boleh mempersoalkan kesetiannya kepada pasukan negara, namun ada segelintir penyokong yang bersetuju dengan Kim Min-jae dimana Napoli ketika ini sedang memburu dua kejuaraan utama di Eropah.

Skuad bimbingan Luciano Spaletti itu sedang berada di puncak saingan Serie A dengan kutipan 71 mata, dibezakan 19 mata dengan pasukan di tangga kedua iaitu Lazio.

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pula, Napoli berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir dan mereka akan turun menentang pesainh mereka dalam saingan liga iaitu AC Milan.

Baru-baru ini, Kim menegaskan beliau tidak mahu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan masih setia bersama Napoli.

“Sudah empat tahun khabar angin sebegini. Saya tak selesa. Saya harap anda tidak menulis berita palsu seperti ini.

“Saya tidak terganggu dengan berita perpindahan kerana ia bukan cerita yang betul. Sekarang saya fokus bersama Napoli dan tidak mahu memberi perhatian kepada perkara tidak masuk akal. Ada banyak perlawanan penting bersama Napoli selepas ini,” tambahnya.

Min-jae menyertai Napoli dari Fenerbahce pada musim panas lalu dan beliau menjadi pemain penting Spaletti dimana pemain itu tampil dalam 26 perlawanan setakat ini.