Bekas pemain kebangsaan era 80-an, Khalid Shahdan, menyokong pembentukan Liga Simpanan bermula pada musim 2023 yang dijangka akan membantu prestasi negara di peringkat kejohanan Bawah Umur di pentas antarabangsa.

Baca Juga:

Menurutnya, Liga Simpanan itu akan menjadi medan terbaik kepada pemain-pemain muda untuk sentiasa mendapatkan minit permainan serta aksi kompetitif bagi memastikan mereka sentiasa di prestasi terbaik.

Sebagai seorang yang pernah bergiat aktif di peringkat akar umbi, beliau melihat aspek kekurangan perlawanan dalam kalangan pemain muda sebagai sesuatu yang perlu dielakkan.

“Penubuhan liga Bawah 23 tahun (Liga Simpanan) ini sesuatu yang bagus kerana akan memudahkan pencarian pemain-pemain muda yang berpotensi mewakili negara.

“Seperti contoh kejohanan kelayakan ke Olimpik dan apa jua kejohanan melibatkan bawah 23 tahun, sekurang-kurangnya semua pemain ini ada minit perlawanan.

“Kalau hendak harapkan pembangunan pemain muda daripada kelab-kelab sedia ada, bukan semua mampu menyediakan yang terbaik.

Khalid Shahdan. Kredit Foto: Malaysian Football League

“Boleh lihat bagaimana skuad kendalian Brad Maloney pada musim lalu yang boleh beraksi di peringkat kelayakan Piala AFC Bawah 23 tetapi gagal berikan saingan di pusingan akhir.

“Jadi dengan adanya penubuhan Liga Simpanan ini, sekurang-kurangnya mampu menyediakan perlawanan kompetitif dan pendedahan yang berterusan di sepanjang musim,” katanya.

Bermula pada musim 2023, Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan Liga Simpanan yang dikhususkan kepada pemain-pemain muda berusia Bawah 23 tahun.

Setiap pasukan wajib membariskan lapan pemain tempatan berusia 23 tahun daripada 11 pemain yang berada di atas padang pada sesuatu perlawanan.

Hanya tiga pemain senior dibenarkan berada dalam kesebelasan utama termasuk dua pemain import.

Dalam pada itu, Khalid yang juga bekas pemain Johor mengakui positif dengan gabungan Liga Super dan Liga Premier yang akan menambahkan lagi jumlah perlawanan bagi setiap pasukan.

“Semakin bertambah perlawanan, saya rasa ini sesuatu yang bagus kerana memberikan peluang kepada pemain-pemain untuk lebih kompetitif selain memeriahkan liga itu sendiri,” katanya.