Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tuan Haji Khalid Bin Abd. Samad telah dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres ke-32 badan induk itu semalam.
Beliau akan memimpin KLFA bagi penggal 2019-2023 selepas pencabarnya, Rashid Hasnon, tidak mendapat pencalonan yang cukup. Syarat minimum untuk seseorang individu bertanding merebut jawatan presiden memerlukan sekurang-kurangnya 11 pencalonan daripada ahli gabungan.
Rashid, bagaimanapun, hanya meraih empat pencalonan, sekali gus gagal mencabar Khalid yang mendapat 18 daripada 22 pencalonan ahli gabungan.
Setinggi-tinggi Tahniah kepada YB Tuan Khalid Bin Abdul Samad yang telah dipilih oleh ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur untuk menerajui bagi sesi 2019-2023.#sampaimatikualalumpur #smkl #kltid #kualalumpur pic.twitter.com/X9LobsIaFq
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) November 24, 2019
Bagi mencapai hasrat dan impian peminat skuad warga kota itu, Khalid meletakkan sasaran untuk membawa Kuala Lumpur muncul antara pasukan terbaik dalam negara.
Musim ini, Kuala Lumpur menghuni kedudukan dua tercorot Liga Super lalu diturunkan pangkat ke Liga Premier musim depan. Justeru itu, Khalid tekad memastikan pasukan itu kembali menyertai Liga Super pada tahun 2021 dan berada dalam kelompok 4 teratas.
“Perkara pertama adalah untuk keluar daripada Liga Perdana. Insya-Allah, kami hanya akan berada dalam Liga Perdana hanya untuk satu musim.
“Kemudian kami akan kembali ke Liga Super. Selepas dapat ke Liga Super, kami akan mencuba untuk menduduki kelompok empat teratas,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan barisan pemain dan jurulatih pasukan itu.
“Kami akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menentukan perancangan dan masa depan KLFA.
“Kami juga akan menetapkan jurulatih, pengurus dan pemain,” tambahnya.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Nor Hakim Hassan Sah Angkat Kaki Daripada Skuad The Bos Gaurus