Setiausaha Agung PKNS FC, Adi Harmizi Ariffin menasihatkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam agar tidak tunduk dengan desakan yang mahukan beliau untuk melepaskan jawatan.
Menurut Adi, MFL sudah banyak melakukan perubahan positif dalam merubah landskap bola sepak tempatan selain memberikan bantuan yang secukupnya terhadap rakan kongsi.
“Banyak perubahan dibuat MFL dalam usaha merancakkan Liga Malaysia, sebagai contoh pemberian geran di mana pada satu tahap kami tidak menjangka satu jumlah yang besar pada musim lalu sekaligus membantu perbelanjaan pasukan.
“Malah pada musim ini, MFL turut mengadakan pertemuan dengan setiap pasukan bertanding untuk memberikan maklumat lebih terperinci berbanding sebelum.
“Tidak perlu timbul isu memaksa Kevin letak jawatan kerana setiap kali pasukan memerlukan bantuan, MFL tiada masalah untuk membantu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menggesa agar Kevin meletakkan jawatan sebagai CEO MFL kerana beliau dianggap gagal dalam menguruskan badan berkenaan.
Kevin Ramalingam Harus Letak Jawatan – Posa Majais https://t.co/JwhM3f03HZ
— VOCKET FC (@vocketfc) April 25, 2019
Selain itu, Posa menganggap MFL gagal dalam menjaga kepentingan rakan kongsi apabila mereka memotong 50% daripada jumlah geran tahunan yang diterima 7 pasukan.
Hukuman tersebut dikenakan kerana 7 pasukan iaitu Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier) gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.