Kegilaan bola sepak telah menambat hati peminat di Malaysia sejak lebih dari 100 tahun. Walaupun banyak kelab telah datang dan pergi, tangisan peminat dan titik peluh pemain tetap kekal. Salah satu kelab baru yang muncul ialah Kerteh FC dari Terengganu.
Walaupun hanya bersaing dalam Liga M4, Kerteh FC telah berjaya menarik perhatian pencinta bola sepak seluruh negara dengan pengurusan yang dinamik dan progresif.
Salah satu perubahan dinamik mereka terletak di penjenamaan baru mereka.
Transformasi logo Kerteh FC adalah salah satu langkah yang terkandung dalam proses evolusi imej Kerteh FC dalam usaha memperkukuhkan jenama kelab.
Meskipun ia satu langkah yang drastik dalam usia kelab yang masih muda, namun kelab melihat ini satu keperluan utama bagi membawa jenama Kerteh FC menuju ke peringkat global dengan imej yang segar, elegan, terkini serta moden.
Logo moden ini bukan sekadar perubahan di permukaan semata-mata. Ia mengintegrasikan jiwa bandar dan penduduknya ke dalam wajah baru mereka.
Melalui penyelidikan yang mendalam, rakan kongsi kreatif Kerteh FC, INKA Creative telah berjaya melancarkan wajah dan identiti baru bersama tenaga pengurusan kelab.
Warna Baru
Wajah baru Kerteh FC menggunakan 2 jenis hijau yang datang dari sumber berbeza.
Hijau gelap yang lebih formal diambil daripada warna rumput padang bola manakalahijau pendarflour atau fluorescent pula diambil dari warna keselamatan reflektif yang sering dilihat sekeliling bandar petroleum itu.
Jalur atau Tiang
Motif jalur baru ini mengambil inspirasi dari paip-paip yang boleh dilihat di loji penapis minyak dan gas Kerteh. Ia menunjukkan semangat kebersamaan dan silaturrahim antara pemain dan komuniti yang menyokong mereka.
2 batang tiang juga membawa simbol menara ‘flare’ yang biasa dilihat di loji, terminal dan pelantar minyak bagi tujuan membakar lebihan gas. Ia juga melambangkan struktur-struktur keluli yang menjadi tunjang binaan loji dan pelantar minyak. Ini membawa maksud kekuatan serta berdaya saing.
Huruf K
Mewakili huruf pangkal nama Kerteh sendiri serta para penduduknya. Antara elemen dari logo lama yang dikekalkan dan diberi nafas segar dalam logo baharu.
Berlian Merah
Berlian merah yang terletak di puncak logo melambangkan semangat pejuang Kerteh FC dan keberanian yang merangkumi jiwa semua warga Kerteh.
Diinspirasikan daripada pemandangan obor api yang sinonim dengan bandar Kerteh, simbol ini juga memberi Kerteh nama tidak rasminya, The City Of Lights.
Perisai
Sebagai pelengkap wajah baru, simbol kekuatan Kerteh datang dari perisai yang juga melambangkan kekeluargaan. Perisai ini menjadi kanvas untuk corak corak lain dan digunakan untuk menyatukan pemain, pihak pengurusan dan peminat mereka dari serata dunia.
Keharmonian elemen-elemen ini melahirkan jiwa baru pasukan muda ini. Wajah baru inilah yang akan menjadi simbol dan luahan semangat mereka, menciptakan legasi baru untuk dipersembahkan. Wajah baru inilah janji mereka untuk membuktikan diri mereka kepada negara dan dunia.