Kepakaran tempatan terus menarik minat negara luar selepas jurulatih futsal berpengalaman Malaysia, Qusmaini Noor Rusli telah dijemput untuk mencurahkan ilmunya di Korea Selatan.
Baca Juga:
- Kekuatan Vietnam Dari Kaca Mata Jurulatih Tempatan Ini
- Kenali Zuhairi Sholahuddin, Pemain Import Pertama Beraksi Di Liga Futsal Indonesia
- Elemen Futsal Ke Bola Sepak Jadi Senjata Utama Natanael Siringo Ringo Di Kelantan FC
Terkenal dengan penerapan metodologi futsal moden, Qusmaini telah dijemput oleh kelab saingan Liga Futsal Korea Selatan, Jeonju Made Axis Glory (MAG) selama dua minggu bagi pendedahan terhadap kaedah tersebut kepada para pemain.
Jeonju MAG memegang reputasi hebat dalam kancah futsal di Korea apabila bergelar juara enam kali saingan liga yang mula diperkenalkan pada musim 2019/20 itu.
Malah, skuad yang dimiliki serta dilatih oleh Lee Yong-jin (Instruktor Elit Futsal AFC) itu turut pernah beraksi dalam Kejuaraan Futsal KelabĀ AFC 2018.
Penekanan khusus terhadap futsal moden jelas mampu menjadi faktor berguna dalam usaha meningkatkan kualiti sesebuah pasukan.
Peningkatan corak permainan skuad kebangsaan Jepun dapat disaksikan selepas penerapan futsal moden oleh Miguel Rodrigo bermula 2008 hingga menyaksikan negara tersebut muncul juara Piala Futsal AFC bagi dua edisi berturut-turut dibawah kendalian pengendali dari Sepanyol itu.
Keadaan itu turut dapat disaksikan di Vietnam sebaik sahaja jurulatih kelahiran Itali, Sergio Gargelli mengendalikan skuad kebangsaan pada 2010.
Menurut Qusmaini ketika dihubungi wakil Vocket FC, komunikasi jelas menjadi penghalang terbesar buatnya dalam sesi perkongsian bersama kelab tersebut.
“Semestinya, pasti ada masalah berkomunikasi dalam sukan. Namun saya tidak melihat ia sebagai satu masalah besar kerana bahasa futsal dan bola sepak sangat ringkas dan ‘direct’.”
“Yang penting adalah cara penyampaian dan kemahiran pedagogi bagaimana untuk saya membuatkan para pemain memahami apa yang kita mahukan.”
“Pengalaman dan tantangan saya di Korea ialah perlu menghadapi pemain yang tidak memahami bahasa inggeris dan juga seorang pemain OKU mereka yang tidak boleh mendengar dan bercakap.”
“Tetapi yang menggembirakan saya apabila neberapa kaedah dan metodologi saya cuba praktikkan dalam sesi latihab, alhamdulillah mereka berjaya lakukannya dengan baik.”
“Tahap pemain Korea Selatan daripada segi kepintaran dan teknik tidaklah jauh berbeza dengan pemain Jepun dan Vietnam. Cuma mereka perlu ditekankan dengan futsal moden,” tambah Qusmaini lagi.
Selain mencurahkan ilmu bersama Jeonju MAG, Qusmaini turut berpeluang memberikan tunjuk ajar kepada pemain dalam kalangan pelajar Sekolah Tinggi Jeounju serta Pusat Bola Sepak Sjin Tae-in (bawah 15 tahun).
Sesi latihan bersama pelajar sekolah itu memfokuskan kepada metodologi futsal dipraktikan dalam bola sepak yang meliputi aspek hantaran pendek serta kemahiran ‘perception’ dan kognitif.
Dalam perkembangan lain ketika ditanya adakah beliau akan kembali membimbing pasukan dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini, Qusmaini tidak menolak kemungkinan tersebut.
Bekas pengendali skuad futsal kebangsaan Brunei itu pernah membimbing Kelantan bagi menghadapi kempen MPFL 2022.