Selepas mengharungi enam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Vietnam masih mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menghuni tangga teratas dengan mengumpul 14 mata.

Empat kemenangan dan dua keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Park Hang-seo itu masih mengungguli saingan kumpulan G dengan kelebihan dua mata dihadapan pencabar terdekat, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Awal pagi semalam, jiran serantau itu mudah menjinakkan Indonesia selepas berjaya mencatatkan kemenangan 4-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai hasil jaringan Nguyen Tienh Linh, Nguyen Quang Hai, Nguyen Cong Phuong dan Vu Van Thanh.

Susulan aksi kemas ditampilkan Vietnam pada perlawanan tersebut,  Ketua Pembangunan dan Metodologi Kelantan FC, Qusmaini Noor Rusli telah berkongsi tentang pemerhatian peribadinya mengenai kekuatan pasukan yang turut dikenali dengan ‘Naga Emas’ itu.

Memetik hantaran di laman Facebook peribadi miliknya, Qusmaini yang baharu sahaja menamatkan pengajian secara dalam talian di University Barcelona Innovation Hub dalam jurusan Metodologi bola sepak itu melihat lima perkara yang menjadi kekuatan buat Vietnam.

Perkara utama ialah tahap kecergasan para pemain Vietnam kelihatan masih di tahap terbaik walaupun perlawanan sudah melepasi tempoh 65 minit. Ini juga jelas untuk mengatakan bahawa kecergasan mereka berada di tahap yang cukup tinggi.

Keadaan ini juga sudah pasti boleh dikaitkan dengan usia para pemain mereka. Kecuali penjaga gol, Bui Tan Truong [35 tahun] serta ketua pasukan, Que Ngoc Hai yang berusia 28 tahun, pemain lain dalam kesebelasan utama Vietnam masih lagi di bawah usia 26 tahun.

Qusmaini juga melihat para pemain Vietnam mengoptimumkan corak permainan 1-2 seumpama situasi bola mati yang sudah pun dirancang. Ketika bermain 1-2 dan hantaran pendek, kedudukan para pemain sentiasa dalam keadaan diagonal.

Mereka seolah-olah bermain ‘rondo’ di atas padang. Banyak ‘cordination move’ dengan pengaktifan orang ketiga di kesan dalam gerakan-gerakan mereka. Sebagai contoh ketika gol kedua di mana satu gerakan ‘paralela’ dilakukan dengan memerangkap tiga pemain dan akhirnya meletakkan bola tersebut kepada pemain ketiga.

Selain itu, beliau turut berpendapat ‘body orientation’, bahasa tubuh, persepsi serta kemahiran kognitif [tindak balas ditunjukkan pemain terhadap situasi perlawanan] yang ada pada para pemain Vietnam juga jelas berada di tahap sangat kukuh.

Sehubungan dengan itu, beliau merasakan terdapat latihan khusus terhadap perkara-perkara dinyatakan yang diamalkan oleh Park Hang-seo dalam membina asas tersebut.

Di samping itu, persefahaman yang cukup baik dapat disaksikan wujud dalam pasukan Vietnam kerana seperti diketahui pemain-pemain mereka sudah lama bergandingan bersama.

Sifat ‘opportunist’ pemain Vietnam yang sentiasa menghidu peluang dan gemar untuk melakukan percubaan ke gawang lawan juga turut mencuri perhatian bekas jurulatih skuad futsal Perak itu.

Daripada empat jaringan yang terhasil, dua daripadanya menjelma hasil percubaan menarik berikutan kepantasan membuat keputusan daripada Nyugen Quang Hai yang meledakkan rembatan dari jarak jauh serta gol menerusi ‘placing’ cantik Vu Van Thanh.

Menjelang pertemuan menentang Malaysia pada 11 Jun nanti, Qusmaini turut memberikan pendapat bahawa skuad negara perlu mempertaruhkan pemain yang lebih laju kerana terdapat kerisauan sekiranya Malaysia menurunkan pemain yang lebih perlahan kerana Vietnam suka meletakkan bola ‘between two line’.

Bagaimanapun, itu hanya pendapat peribadinya dan beliau juga menyedari pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe pastinya memiliki kebijaksanaan dalam mengenalpasti kelemahan dan kelebihan pasukan Vietnam.

Kesimpulan

Setiap jurulatih memiliki sudut pandang mereka yang tersendiri dan berbeza dalam membaca corak permainan pasukan lawan. Dalam ‘coaching behaviour’ juga terdapat jurulatih yang melihat sesuatu perkara mengikut aspek berbeza.

Walau apa juga pandangan yang diberikan semua pihak tentang Vietnam, besar harapan kita untuk melihat Malaysia meraih kemenangan selepas kecewa pada pertemuan menentang UAE, tempoh hari.