Kemampuan hebat pasukan futsal Thailand memang tidak boleh dipertikaikan lagi berikutan kemampuan negara jiran itu menjadi ‘pasukan tetap’ dalam saingan Piala Dunia sejak tahun 2000.

Baca Juga:

Bagi kancah Asia pula Thailand pernah bergelar naib juara bagi edisi 2008 dan 2012 manakala lima kali berada pada kedudukan ketiga terbaik.

Sehubungan dengan itu tidak hairanlah sekiranya Thailand turut dianggap sebagai gergasi futsal di Asia bersama-sama Iran, Jepun dan Uzbekistan.

Selain daripada memiliki barisan pemain berkualiti tinggi seperti Muhammad Osamanmusa, Kritsada Wongkeao, Suphawut Thuenklang dan ramai lagi, Thailand boleh dikatakan cukup bertuah kerana mempunyai individu yang benar-benar cintakan sukan lima sebelah tersebut.

Individu dimaksudkan ialah Adisak Benjasiriwan yang bertindak selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantasi Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Kebijaksanaan serta cinta yang amat mendalam Adisak untuk memajukan futsal menjadi elemen penting dalam perkembangan hebat sukan tersebut di sana.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan susuk tubuh berusia 61 tahun itu adalah insan yang telah melahirkan futsal di Thailand jika melihatkan kepada sumbangan besarnya.

Mula terlibat dengan skuad futsal kebangsaan Thailand sejak tahun 1998, Adisak Benjasiriwan banyak menghabiskan masa dalam menumpukan usaha terbaik seperti pembangunan latihan, kejurulatihan dan sistem pengurusan pertandingan dengan lebih teratur.

Adisak bersama pemain Thailand ketika sesi latihan pusat bagi menghadapi Kejuaraan AFF 2022. Kredit Foto: Imane Thailand

Keadaan itu dibuktikan dengan penganjuran Piala Dunia Futsal 2012, Piala Futsal Antara Benua 2018 dan 2019, Kejuaraan AFC 2008 serta banyak lagi kejohanan jemputan yang menampilkan pasukan gergasi dunia.

Malah, penganjuran Liga Futsal Thailand yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 juga dilihat berlangsung mengikut perancangan tahunan dan berjaya menarik minat penaja dimana pada ketika ini teknologi ‘Video Support’ turut diimplementasikan.

Menurut sumber dipercayai, anak kelahiran Bangkok itu telah mengendalikan futsal di Thailand dengan cara yang sangat baik tanpa mengira peringkat kejohanan.

Daripada pertandingan peringkat remaja, liga utama hingga ke skuad kebangsaan, semuanya menjadi perhatian Adisak terutamanya dalam menyalurkan bantuan kewangan pada setiap tahun.

Selain itu, Adisak juga mencurahkan minatnya terhadap futsal dengan membina gelanggang awam di kawasan bandar bagi membolehkan orang ramai menikmati permainan tersebut secara percuma.

Perkara tersebut secara tidak langsung dilihat dapat mewujudkan lebih ramai bakat baharu dan ia nyata memberikan kesan positif terhadap perkembangan futsal di Thailand.

Dengan kisah serba ringkas mengenai Adisak Benjasiriwan ini, ia memberikan gambaran jelas bahawa pemimpin yang mempunyai ‘jiwa’ mampu untuk menjadi tunjang kekuatan dalam meningkatkan sukan tersebut.