Selepas lebih dua tahun, Pahang Rangers akan kembali beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan apabila melayani kunjungan Terengganu dalam aksi suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia pada Sabtu ini.

Kali terakhir skuad bimbingan Gerard Casas beraksi di venue berkenaan adalah pada Mac 2020, ketika membelasah Sarawak 9-1 dalam aksi pembukaan Malaysian Premier Futsal League 2020.

Penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, menyaksikan liga dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dua tahun berturut-turut, dan hanya bersambung semula pada bulan Januari lalu.

SUKPA bagaimanapun tetap tidak dapat digunakan ketika itu memandangkan ia masih menjadi penempatan Covid-19 tatkala FAM kemudian membuat keputusan melangsungkan kesemua sembilan sirkit di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.

“Akhirnya kami kembali ke tempat yang sepatutnya, selepas 27 bulan kita berdepan kesukaran untuk berlatih di bawah terik matahari dan menumpang bermain di tempat orang.

Kredit Foto: Pahang Rangers

“Ia bukan perjalanan yang mudah tapi kami semua mengharunginya sebagai sebuah keluarga dan kembali sebagai sebuah pasukan yang lebih kuat. Kini penyokong boleh kembali bersorak di SUKPA, kami tahu sudah begitu lama mereka menanti momen ini dan sudah bersedia menghadiahkan mereka aksi yang mengujakan,” ujar Gerard Casas.

Mengenai perlawanan menentang Terengganu, pengendali dari Sepanyol ini meletakkan harapan dapat mencari bekalan selesa untuk aksi timbal balik pada 25 Jun dalam masa sama gembira kerana mempunyai skuad penuh termasuklah 5 pemain kebangsaan yang telah bersama skuad negara di Piala AFF dan Sukan SEA 2021.

Lima pemain tersebut adalah Abu Haniffa Hasan, Saiful Nizam Md Ali, Ridzwan Bakri, Farhan Khairul Anuar dan pemain yang baru direkrut pada bulan Mei lalu, Sufri Shamil.

“Selain Sufri, kita juga mendapatkan Pakoi (Fakhrul Islam) dari Kedah, manakala Awalluddin (Mat Nawi) yang mengalami kecederaan lutut juga sudah kembali.

“Kita telah terlepas gelaran liga kepada Selangor, jadi semua pemain tekad mahu untuk menebus kecewa dengan memenangi Piala Malaysia sebagai hadiah buat Presiden, YAM Tengku Fahad (Mua’adzam Shah) yang sentiasa suportif dan merupakan penyokong nombor satu pasukan ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Perak Bakal Uji Pemain Import, Bekas Rakan Sepasukan Ivan Perisic Jadi Sasaran

Pogba Anggap Tawaran £300,000 Seminggu Sebagai ‘Tiada Apa’

Theerathon Bunmathan: Tak Berbaloi Lawan Pasukan Asia Tenggara