Hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat kelibat Afiq Fazail bersama skuad Harimau Malaya akhirnya jadi kenyataan apabila namanya dipanggil menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026. 

Pasukan kendalian Kim Pan Gon itu akan memulakan sesi latihan pada hari Jumaat, 10 November 2023 sebelum menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula 16 November. 

Berdasarkan senarai 25 pemain tersebut, Pan Gon telah mengekalkan seramai 20 pemain yang telah dipanggil menghadapi saingan Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Lebih mengejutkan, pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh turut dipanggil bersama 3 lagi pemain iaitu penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; pemain pertahanan, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Bagaimanapun, dua pemain, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Chinese Taipei di tempat lawan pada Selasa, 21 November 2023.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Oman bertemu Chinese Taipei di Muscat pada 16 November 2023 dan Republik Kyrgyz menanti kunjungan Oman di Bishkek pada 21 November 2023.

Ini peluang skuad Harimau Malaya untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA kerana Kelayakan Piala Dunia ini menawarkan mata ranking jauh lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Malaysia kini menghuni tangga ke-137 dunia turun 3 anak tangga berbanding 134 pada bulan lepas.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon berjaya memintas Filipina (138 dunia) selepas 12 tahun dan kini merupakan pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara dibelakang Vietnam (94 dunia) dan Thailand (112 dunia).