Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui Malaysia menunjukkan peningkatan ketara sejak dilantik sebagai pengendali pasukan itu.

Bermula dengan kedudukan ranking 154 dunia, Harimau Malaya kini berada dalam kelompok 130 dunia dan berada dalam landasan terbaik untuk mencapai sasaran ranking 120 dunia.

Menurut Kim Pan Gon, ia adalah peningkatan yang cukup menakutkannya sehingga beliau tidak dapat tidur sebelum aksi final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan kelmarin.

“Peningkatan terlalu mendadak ini membuatkan saya takut. Bermula dengan sekitar ranking 154, kini kita mencapai tangga 134 dengan terlalu pantas. Ia menyebabkan harapan tinggi diletakkan kepada kita.

“Saya tak dapat tidur lena sebelum perlawanan menentang India. Saya asyik terfikir kalau kalah, kita tak akan beraksi pada perlawanan kedua.

“Saya juga tak boleh tidur sebelum menentang Tajikistan. Semua orang fikir kami akan menang,” kata Kim Pan Gon dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Kim Pan Gon turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia apabila pasukannya gagal menjuarai Pestabola Merdeka 2023 selepas 0-2 kepada Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau meminta rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya dan beliau sedia menerima apa jua kritikan.

“Anda boleh kritik saya. Saya yang terima gaji, jadi kritikan itu untuk saya. Pemain hanya dipanggil ke kem kebangsaan dan mereka datang berjuang demi nama negara.

“Jangan kecam pemain. Mereka hanya ikut perancangan dan taktikal saya. Kita sudah mencuba, bukan semua perlawanan akan berakhir dengan kemenangan.

“Semua orang termasuk pemain Piala Dunia pun boleh melakukan kesilapan. Saya yang buat pertukaran, pemilihan pemain dan perancangan. Jadi, kalau nak serang (kritik), seranglah saya,” tegas Kim Pan Gon.

Selepas ini, Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan November depan.