Malaysia terus mendaki dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila kini menghuni tangga ke-134 dunia.

Ia bermakna skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon telah naik dua anak tangga berbanding kedudukan 136 dunia pada 20 Julai lalu.

Kenaikan ranking itu susulan kejayaan Harimau Malaya mengikat dua pasukan kelompok 100 dunia, Syria (2-2) dan China (1-1) dalam aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China pada 6 dan 9 September lalu.

Hasil keputusan tersebut, Malaysia telah mengumpul 1094.9 mata keseluruhan, naik 3.33 mata berbanding 1091.57 mata dalam kemas kini sebelum ini.

Malaysia juga berada di kedudukan ke 24 dalam benua Asia dan keempat dalam kalangan rantau Asia Tenggara di belakang Vietnam (93), Thailand (112) dan Filipina (132).

FOTO: X @HarimauMYstats

Malah, Harimau Malaya berpeluang potong kedudukan ranking Filipina yang hanya dipisahkan dengan 4.39 mata jika konsisten mencatat keputusan positif dalam perlawanan antarabangsa yang seterusnya.

Malaysia bakal bertemu India yang berada di ranking 101 dunia dalam perlawanan Pesta Bola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan Oktober ini.

Seterusnya, mereka akan bertemu sama ada Tajikistan atau Palestin pada perlawanan kedua dalam usaha untuk menambah mata ranking FIFA.

Juara Piala Dunia musim lalu, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1851.41 mata keseluruhan diikuti Perancis di tangga kedua dan Brazil menghuni kedudukan ketiga.

Jepun yang menghuni tangga ke-19 dunia pula muncul pasukan teratas Asia dengan mengumpul 1605.2 mata manakala Iran (21) dan Korea Selatan (26) berada di tangga kedua dan ketiga benua itu.