Juara Piala AFF 2018, Vietnam mengejutkan peminat bola sepak Asia apabila menewaskan China, 3-1 pada perlawanan kelapan pusingan ketiga saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium My Dinh semalam.
Malah, keputusan ini bermakna Vietnam lakar sejarah jadi pasukan pertama dari Asia Tenggara (ASEAN) yang berjaya mengutip 3 mata penuh di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia selepas gagal dilakukan oleh Thailand beberapa tahun lalu.
#Stats | ✨HISTORY ✨
🇻🇳 Vietnam's victory over China is the first victory of an ASEAN representative in the AFC's final round of the World Cup Qualifiers.#AFC #WCQ2022 pic.twitter.com/UdGj3wU6gF
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 1, 2022
Skuad kendalian Park Hang-seo itu jelas berada dalam motivasi tinggi untuk bangkit daripada kekalahan menentang Australia, 0-4 pada minggu lepas apabila terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 9 menerusi tandukan Ho Tan Tai selepas menerima hantaran cantik daripada kapten pasukan, Do Hung Dung.
Tujuh minit kemudian, Hung Dung sekali lagi terlibat dalam gol kedua Vietnam apabila hantarannya daripada sebelah kanan berjaya disudahkan oleh Nguyen Tien Linh. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama dan China gagal beraksi dengan baik.
Di separuh masa kedua, Vietnam bermain dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan China menjaringkan gol penyamaan di halaman sendiri.
Pada minit ke 76, Stadium My Dinh kembali bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila rembatan padu Phan Van Duc dari luar kotak penalti menghasilkan gol ketiga untuk Vietnam.
China juga kembali melakukan serangan balas namun tidak mampu menewaskan penjaga gol tuan rumah, Tran Nguyen Manh yang beraksi cemerlang. Mereka hanya berjaya menemui jaringan pada minit akhir perlawanan menerusi rembatan Xu Xin dalam kotak penalti.
Namun begitu, keputusan 3-1 tidak mengubah kedudukan Vietnam yang terus kekal di tangga tercorot dalam kumpulan B di belakang China. Mereka mempunyai baki 2 lagi perlawanan pada bulan Mac menentang Oman dan Jepun.
Keputusan penuh perlawanan ke-8 saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 zon Asia.
Iran🇮🇷 dan Korea Selatan🇰🇷 layak ke Piala Dunia secara merit manakala Vietnam🇻🇳 pasukan ASEAN pertama kutip 3 mata dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia. #AsianQualifiers pic.twitter.com/6JzAmPD9i4
— VOCKET FC (@vocketfc) February 1, 2022
Bagi ketua jurulatih, Park Hang-seo, kemenangan ini cukup bermakna hasil kerja keras daripada para pemainnya yang telah menempuhi pelbagai kritikan sejak tersingkir di separuh Piala Suzuki AFF bulan lepas.
“Semua pemain kami telah memberikan yang terbaik tetapi meminta mereka untuk menang semua perlawanan itu tamak. Kita perlu nilaikan berdasarkan usaha mereka bukan melalui kemenangan dan jangan kritik mereka apabila gagal menang.
“Ini kemenangan pertama kami ke atas China dan juga pasukan pertama dari Asia Tenggara yang menang di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia. Saya juga mahu berterima kasih kepada para penyokong yang sentiasa memberikan sokongan padu,” kata Park Hang-seo dalam sidang media selepas perlawanan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Skuad Bola Sepak Wanita Filipina Lakar Sejarah Layak Ke Piala Dunia 2023
Kelab Liga Perdana Singapura Bakal Nikmati Lebih Banyak Perlawanan
Witan Sulaeman Sertai FK Senica, Bakal Beraksi Bersama Egy Maulana Vikri
Ikhsan Fandi Jaringkan Dua Gol, Bantu BG Pathum Tewaskan Songkhla FC
Kurniawan Berkelana Ke Itali, Jadi Penolong Jurulatih Kelab Serie B