Penyerang skuad kebangsaan Singapura, Ikhsan Fandi tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta impak di bahagian serangan BG Pathum United apabila beliau berjaya menjaringkan dua gol dalam aksi REVO Thai League Cup baru-baru ini.
Pada perlawanan menentang Songkhla FC, Ikhsan diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau digandingkan dengan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo.
Anak kepada Fandi Ahmad itu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 dan kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-85 sekaligus melengkapkan kemenangan 4-1 BG Pathum. Dua lagi gol dijaringkan oleh Worachit Kanitsribampen dan Chaowat Veerachat.
Ikhsan Fandi memutuskan untuk menyertai BG Pathum meskipun kelab Norway yang diwakilinya sebelum ini, FK Jerv berjaya memperoleh tempat untuk beraksi dalam divisyen pertama liga Norway musim hadapan.
BG Pathum menyelesaikan perpindahan ini ketika Ikhsan beraksi bersama pasukan Singapura dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang baru sahaja tamat.
Meskipun terpaksa bersaing dengen beberapa nama besar dalam saingan liga bola sepak Thailand seperti Diogo dan penyerang senior skuad Gajah Perang iaitu Teerasil Dangda, namun perkara tersebut tidak mengganggu fokus pemain berusia 22 tahun itu.
Ketua jurulatih, Dusit Chalermsan terus memberikan kepercayaan kepada adik Irfan Fandi itu untuk mengisi jentera serangan pasukan.
Pada perlawanan yang seterusnya, BG Pathum akan turun menentang Muangthong United dalam saingan liga dan Ikhsan berpeluang untuk terus kekal dalam kesebelasan utama setelah menampilkan prestasi cemerlang pada perlawanan terakhir.
BG Pathum yang juga juara bertahan ketika ini menduduki tangga kelima dalam carta liga, dibezakan dengan lima mata dibelakang Bangkok United yang ketika ini menjadi pendahulu.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Bekas Pemain Kebangsaan, Shebby Singh Disahkan Meninggal Dunia
Syahrian Abimanyu Kembali Ke Liga Indonesia Sarung Jersi Persija Jakarta
TMJ “Whatsapp” Presiden Melaka United, Minta Selesaikan Tunggakan Gaji