Malaysia terpaksa menelan kepahitan sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 menentang Guam di Stadium Pakansari, Bogor sebentar tadi.

Baca Juga:

Ia juga boleh dianggap kejutan daripada Guam kerana mereka sebelum ini menjadi mangsa belasahan apabila sudah pun dibolosi 23 gol ketika menghadapi Emiriah Arab Bersatu (0-9) dan Indonesia (0-14).

Sementara itu di kem skuad negara, ia jelas satu kekecewaan buat skuad kendalian Osmera Omaro itu kerana perlawanan ini merupakan aksi wajib menang buat mereka untuk meningkatkan lagi moral menjelang pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia.

Skrip yang sama seperti aksi pertama ketika bertemu Palestine berulang apabila barisan pemain muda Malaysia gagal untuk mendapatkan jaringan pada 45 minit awal.

Kebuntuan itu hanya mampu dipecahkan pada minit ke-73 apabila pemain gantian, Muhammad Qahir Dzakirin bin Rosfaizi berjaya meletakkan skuad negara dihadapan.

Keadaan yang tidak mahu untuk kita saksikan akhirnya menjelma pada minit ke-84 selepas penjaga gol negara, Muhammad Aliff Aiman bin Razali gagal untuk menyelamatkan percubaan daripada Riku Ngeschekle Meyar sekali gus Malaysia hanya mampu berpuas hati dengan satu mata.

Dengan keputusan seri yang langsung tidak dijangkakan ketika bertemu Guam ini, Malaysia menghuni tangga kedua dengan empat mata tetapi kedudukan itu akan berubah sekiranya Indonesia dapat menewaskan Emiriah Arab Bersatu, sebentar lagi.

Cabaran seterusnya buat skuad muda negara ialah berhadapan dengan Emiriah Arab Bersatu pada Jumaat ini. Dua hari kemudian Indonesia menanti untuk aksi terakhir.

Dua perlawanan yang perlu dimenangi oleh skuad negara untuk mencerahkan peluang bagi melayakkan diri ke pusingan akhir bermula 3 Mei 2023 nanti.

Hal ini kerana berikutan jumlah pasukan yang berbeza bagi setiap kumpulan menyaksikan mata ketika pertemuan menentang pasukan ditangga terbawah tidak akan dikira.

Ini bermakna seandainya Guam menamatkan saingan ditangga terakhir, hanya mata pertemuan Malaysia menentang Palestine, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia sahaja akan diambil kira.

Jadi, sekiranya Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia, ia sekali gus membawa skuad negara layak secara automatik ke pusingan akhir selaku juara kumpulan.

10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan bersama lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023.