Malaysia melakar sensasi di Stadium Pakansari, Bogor apabila tidak berdepan masalah membelasah Indonesia 5-1 pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan mudah tidak dijangka itu sekali gus telah membawa skuad muda negara kendalian Osmera Omaro ke pusingan akhir yang dijadulkan bermula 3 Mei tahun hadapan.

Malaysia bagaimanapun ditekan hebat pada 10 minit awal dimana pasukan tuan rumah bersandarkan kepada kelincahan pemain sayap untuk menyalurkan bola buat tonggak serangan, Arkhan Kaka Putra Purwanto.

Arkhan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua tetapi percubaannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Figo Dennis Saputrananto sekadar singgah di palang gol.

Dalam tekanan yang diterima, pemain negara masih mampu mencuri satu peluang ke arah pintu gol Indonesia, namun rembatan jarak jauh dilakukan Muhammad Anjasmirza Saharudin ditangkap kemas penjaga gol, Andrika Fathir Rachman pada minit keenam.

Sudah mula menyesuaikan diri dengan permainan, barisan pemain Malaysia kemudiannya tampil dengan cukup garang dan berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada mini ke-17.

Berpunca daripada lorongan Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi yang melakukan larian deras di sebelah kiri pintu gol Indonesia memberikan ruang buat Muhammad Zainurhakimi Zain Azraii untuk mudah menyudahkan peluang terhidang.

Kesebelasan utama Malaysia ketika bertemu Indonesia. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Tiga minit kemudian berpunca kesilapan Femas Aprian Crespo yang gagal mengawal bola dengan baik dalam kawasan sendiri membolehkan Arami Wafiy pula meletakkan nama selaku penjaring hasil ledakan jarak dekat menewaskan Andrika Fathir.

Tidak cukup dengan dua gol tersebut, Arami yang merampas bola dari kaki Muhammad Nabil Asyura lalu membuka ruang buat Anjasmirza dalam kawasan penalti untuk mencetak gol ketiga pada minit ke-23.

Indonesia yang tertekan cuba untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-23 tetapi rembatan dari luar kawasan penalti dilakukan Figo Dennis Saputrananto diselamatkan oleh penjaga gol Malaysia, Muhammad Farish Farhan Mohd Zalani.

Pemain muda negara terus membuatkan skuad kendalian Bima Sakti Tukiman terkedua pada minit ke-27 apabila hantaran lintang cantik dilakukan Muhammad Zainurhakimi hanya mampu dipandang pertahanan Indonesia yang kemudiannya dikuis masuk Muhammad Afiq Danish bin Zulkifli.

Luka Indonesia kian berdarah pada minit ke-38 selepas Arami Wafiy menyempurnakan sepakan penalti ekoran kekasaran dilakukan pemain gantian, Mohammad Andre Pangestu terhadap Anjasmirza.

Arkhan Kaka akhirnya memberikan jaringan saguhati buat Indonesia pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 5-1 buat Malaysia.

Dengan kekalahan ini, Indonesia perlu menanti keputusan perlawanan lain untuk menentukan sama ada mereka akan layak ke pusingan akhir selaku pasukan tempat kedua terbaik.