Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Palestin 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia sebentar tadi.
Baca Juga:
- Skuad Malaysia B-16 Sasar Layak Ke Piala Asia Tahun Depan
- FAM Umum Senarai 28 Pemain Muda Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-16
- AFF B-16 2022: Malaysia Pulang Awal Selepas Diikat Australia
Kemenangan itu mampu menjadi lonjakan semangat buat barisan anak buah Osmera Omaro untuk mengintai peluang beraksi di kejohanan tersebut buat kali keenam sejak mula dipertandingkan pada 1985.
Tiada jaringan dapat dihasilkan pada babak pertama tetapi 45 minit berikutnya menyaksikan kebangkitan dipamerkan pemain muda negara dengan menjaringkan empat gol.
Muhammad Anjasmirza Saharudin membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-50 dan kemudiannya Muhamad Faris Danish Mohd Asrul menambah jaringan kedua ketika permainan memasuki minit ke-68.
Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi dan Muhammad Zainurhakimi Zain Azraii melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad negara hasil jaringan di minit ke-74 serta 87.
Selepas mengharungi cabaran Palestin, lawan seterusnya yang perlu dihadapi oleh pemain muda Malaysia ialah Guam pada 5 Oktober (Rabu).
Dua hari kemudian mereka akan berhadapan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan aksi terakhir adalah menentang tuan rumah Indonesia pada Ahad nanti.
10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan bersama lima naib juara kumpulan terbaik akan layak untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023.