Kelab terkaya Singapura, Lion City Sailors (LCS) dipilih menggantikan tempat kelab Serie A, AS Roma untuk perlawanan menentang kelab EPL, Tottenham Hotspur (Spurs) dalam Piala Tiger pada 26 Julai di Stadium Nasional.

Piala Tiger adalah sebahagian daripada Festival Bola Sepak Singapura yang akan julung-julung kali dianjurkan oleh CDG Zig dan akan berlangsung pada 26 Julai hingga 2 Ogos.

Selain LCS dan Spurs, tiga lagi pasukan ternama eropah iaitu Liverpool, Leicester City dan Bayern Munich turut menyertai kejohanan itu.

Lion City Sailors yang kini berada kedudukan ketiga dalam Liga Premier Singapura (SPL) musim ini menjadikan perlawanan itu sebagai medan persiapan menghadapi AFC Champions League (ACL).

“Menentang pasukan terkemuka seperti Spurs akan memberi kami peluang untuk lebih bersedia menghadapi ACL, dan juga memberikan persembahan terbaik untuk peminat kelab kami.

“Spurs ialah kelab yang mempunyai sokongan baik di Singapura dan kami menjangkakan ramai peminat mereka akan hadir.

“Kami berharap perlawanan itu akan memberi pendedahan kepada peminat Spurs tentang bola sepak tempatan dan mencetuskan sedikit minat terhadap SPL,” kata Pengerusi dan pemilik LCS, Forrest Li.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tottenham Hotspur, Donna-Maria Cullen, berkata kelab itu sangat teruja untuk kembali ke Singapura.

“Kami mempunyai kenangan indah ketika melawat Singapura pada 2019 dan mempunyai peminat yang penuh ghairah di Singapura, termasuk Kelab Peminat Rasmi yang telah ditubuhkan selama lebih daripada 20 tahun.

“Perlawanan menentang Lion City Sailors akan menjadi pengalaman hebat untuk peminat Spurs melihat kelab kita menentang pasukan kelab terkemuka Singapura di Stadium Nasional,” katanya.

AS Roma sepatutnya menentang Spurs pada 26 Julai sebelum berdepan dengan Wolverhampton Wanderers tiga hari kemudian di Korea Selatan. Perlawanan terakhir pramusim kelab Itali itu adalah menentang pemenang Piala FA Korea 2015, Incheon United, pada 1 Ogos.

Berdasarkan jadual, Liverpool bakal menentang Leicester City dalam Piala Singapura Standard Chartered pada 30 Julai. The Reds kemudian akan menentang juara Bundesliga, Bayern Munich, dalam pada 2 Ogos.

Ini tahun kedua berturut-turut Liverpool bermain di Singapura selepas mereka mengalahkan Crystal Palace 2-0 pada Julai 2022. Malah, ini merupakan penampilan pertama Leicester City di Singapura