Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam memberikan jaminan pendapatan kelab kecil tidak akan ketinggalan jauh selepas pengendali Liga Malaysia itu memperkenalkan struktur baharu hak penyiaran yang berkuatkuasa musim depan.

Semalam, MFL mengumumkan mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.

Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, timbul keresahan peminat-peminat tentang kestabilan kelab-kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar daripada sumber pendapatan selepas pengstrukturan hak penyiaran baharu itu diperkenalkan.

Kevin Ramalingam
Sumber Gambar: MFL

Mengulas lanjut, Kevin memberikan jaminan bahawa kelab-kelab kecil yang tidak memiliki kelompok penyokong besar tidak akan ketinggalan jauh daripada segi pendapatan dengan pasukan berstatus gergasi tanah air.

“Tidak ada. Misalnya satu kelab yang besar itu mungkin mendapat sebahagian daripada sumbangan penyokong mereka yang menyumbang terus kepada kelab manakala sebahagian lagi sumbangan akan dikongsikan kepada semua pasukan (yang bertanding di Liga Malaysia).

“Jadi jika kelab-kelab besar lebih berjaya, kelab kecil juga akan mendapat imbuhannya. Itu adalah kebaikan ‘centralize marketing’ program yang MFL lakukan.

“Mengambil contoh, La Liga sendiri pun pada waktu lalu setiap pasukan menjual hak masing-masing tetapi mereka mendapati bahawa pelan itu tidak stabil dan mereka membuat satu ‘centralize marketing’ program di mana La Liga sendiri menjual hak siaran misalnya dan bukan setiap pasukan.

“Ini adalah untuk kestabilan dan lebih jauh baik kepada pasukan-pasukan kecil terutama sekali. Program-program yang MFL lakukan ini akan membantu pasukan-pasukan kecil.

“Jadi, walaupun pasukan-pasukan besar mungkin boleh menjana pendapatan yang lebih tetapi pasukan kecil juga tidak akan ketinggalan jauh,” katanya.

Kevin-Ramalingam

Dalam perkembangan sama, Kevin berharap pendekatan baharu ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada bola sepak tempatan tetapi ia melakukan impak kepada sukan-sukan lain menerusi platform pengstrukturan baharu hak penyiaran.

“MFL akan cuba sedaya upaya untuk menjadi peneraju dalam industri sukan tempatan kita ini.

“MFL turut berharap model yang digunakan ini untuk mengagihkan hak-hak siaran terus kepada penyokong dan penonton akan menjadi satu dorongan yang bagus untuk kemajuan bola sepak dan sukan lain di Malaysia,” katanya.