Ketua jurulatih Persib Bandung, Robert Rene Alberts hairan dengan tindakan pengurusan pasukan itu memotong gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan hingga 75 peratus akibat penangguhan saingan Liga 1 susulan penyebaran wabak COVID-19.
Alberts yang pernah mengendalikan pasukan Sarawak menyifatkan kelab dari Liga Indonesia merupakan satu-satunya kelab di dunia melaksanakan pemotongan gaji yang cukup tinggi kerana kebanyakan pasukan mengalami masalah kewangan yang serius.
Yang membuatkan Alberts hairan ialah pemain dan pegawai Liga Indonesia sanggup menerima pemotongan gaji sebanyak itu padahal di negara lain, hal pemotongan gaji menjadi pendebatan hangat dengan pihak pengurusan walaupun hanya dipotong 30 peratus.
“Indonesia satu-satunya negara yang melaksanakan pemotongan gaji sampai 75 peratus,” kata Robert di channel Youtube peribadinya.
“Jika kamu melihat ke negara lain, ada pendebatan besar untuk hal tersebut. Tetapi, di Indonesia semua sanggup menerima pemotongan gaji 75 peratus. Tentunya itu potongan yang cukup besar untuk beberapa pihak,” tambahnya.
Jika dibandingkan dengan liga lain sekitar Asia Tenggara, kelab dari Thailand merupakan kedua tertinggi yang melaksanakan pemotongan gaji hingga 50 peratus manakala di negara lain termasuk Liga Malaysia memotong gaji hingga 30 peratus sahaja.
Liga Singapura merupakan satu-satunya liga di Asia Tenggara yang tidak ada pemotongan gaji kerana Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengeluarkan dana subsidi tambahan untuk memastikan pemain dan jurulatih tidak mengalami masalah kewangan di tengah wabak pandemik.
Penangguhan saingan domestik memberi masalah kepada semua pasukan di dunia kerana kemerosotan ekonomi menyebabkan syarikat penaja tidak dapat memberi sumbangan ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.
Albert berharap saingan Liga Indonesia dapat diteruskan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat pada bulan Jun meskipun sedar kes COVID-19 di negara itu semakin meningkat.
“Kita dapat maklumat dari Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada bulan Mac lepas, penangguhan Liga Indonesia akan dilanjutkan hingga bulan Jun dan sesi latihan akan diadakan pada bulan itu.
“Kita juga dapat mengetahui liga sekitar Asia seperti Liga Korea dan Liga Vietnam akan kembali bersambung. Di eropah pun sama, Bundesliga pun sudah mula kembali. Indonesia juga mungkin akan mengambil keputusan yang sama,” tambahnya.
Baca artikel lain berkaitan dengan kesan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan sukan bola sepak.
Presiden FIFA Bayangkan Bola Sepak Dunia Bakal Lingkup Akibat COVID-19
Kantung Kewangan Kedah FA Sedikit Terjejas Akibat Wabak COVID-19
Tiada Pendapatan Akibat Penangguhan Saingan Liga, Gaji Semua Staf FA Thailand Dipotong 50%?