Bekas pemain antarabangsa Jepun, Keisuke Honda kini berada di Malaysia dan beliau turut meluangkan masa melawat fasilti dan kemudahan yang terdapat di Pusat Latihan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC).

Artikel Berkaitan:

Malaysia merupakan destinasi ketiga dalam percutiannya di Asia Tenggara selain Hanoi dan Bangkok sejak melepaskan jawatan sebagai pengurus skuad senior Kemboja.

Lawatan beliau juga disambut serta diiringi oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj petang semalam.

Selain dibawa melihat padang latihan, Honda juga turut sempat menyaksikan kemudahan gimnasium, Klinik Red Giants dan juga kolam renang baharu yang siap dibina untuk sesi pemulihan pemain.

Bekas pemain AC Milan itu ternyata berpuas hati dengan apa yang dilihatnya di Pusat Latihan Selangor FC apabila sempat menunjukkan ibu jari sebagai tanda kagum dengan segala kemudahan yang ada.

Honda yang pernah beraksi di Piala Dunia sebanyak 3 kali sebelum ini berpendapat, jika mahu menjadi kuasa besar maka Malaysia perlu melabur dalam bola sepak seperti yang dilakukan oleh negara jiran.

“Kita perlu tanya berapa banyak mereka melabur dalam bola sepak mereka. Negara seperti Thailand dan Vietnam telah melabur banyak dalam bola sepak.

“Jika mahu jadi seperti mereka, negara ini perlu melabur lebih banyak dan melakukan perubahan dari semua sudut [termasuk fasiliti latihan],” tambahnya.

Beliau juga pernah dikaitkan dengan pasukan Selangor FC pada dua musim lalu selepas terdapatnya laporan portal sukan, Tokyo Sports Web yang mengaitkannya dengan skuad Red Giants, sebelum Honda menerima tawaran kelab Azerbaijan, Neftci Baku pada ketika itu.

Malah, jika dia berhasrat melatih mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia, ia juga dilihat tidak mustahil kerana sudah mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan Kemboja sebelum ini.