Bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila menyatakan minat untuk beraksi di Malaysia.

Menerusi satu ciapan di laman X miliknya, beliau mengumumkan sudah berada di Malaysia dan sedia mempelajari perkara baharu sambil intai peluang memasuki pasaran bola sepak tempatan.

“Bagaimana kalau saya bermain bola sepak di Malaysia pada masa akan datang? Saya rasa anda akan dapat melihat aksi pemain terbaik dari Jepun,” tulisnya.

Ciapan daripada Honda tersebut turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan termasuk akaun rasmi pasukan PDRM FC yang sempat berseloroh untuk gandingkannya bersama pemain import pasukan itu, Bruno Suzuki.

Malah, ada juga peminat mencadangkan agar beliau menjadi ketua jurulatih skuad Malaysia B-23 bagi menggantikan tempat E. Elavarasan.

Honda sebelum ini berkhidmat sebagai pengurus skuad kebangsaan Kemboja selama lima tahun namun telah letak jawatan selepas gagal bantu negara itu meraih sebarang pingat dalam temasya Sukan SEA 2023.

Malaysia merupakan destinasi ketiga dalamย percutiannya di Asia Tenggaraย selain Hanoi dan Bangkok sejak melepaskan jawatan sebagai pengurus skuad senior Kemboja.

Beliau juga sempat meluangkan masa melawat fasilti dan kemudahan yang terdapat di Pusat Latihan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) pada bulan Februari lalu.

Honda yang pernah menyarung jersi Jepun di Piala Dunia sebanyak 3 kali telah beraksi bersama 11 kelab bola sepak sepanjang dalam kariernya.

FK Suduva merupakan kelab yang ke 11 disertai oleh Honda dalam karier bola sepaknya selepas Nagoya Grampus, Botafogo FC, Portimonense SC, Vitesse, VVV-Venlo, CSKA Moscow, AC Milan, CF Pachuca dan Melbourne Victory.

Pada usia 37 tahun, beliau masih belum mengumumkan persaraan dalam sukan bola sepak dan sedia beraksi dalam mana-mana liga termasuk Liga Malaysia.